Al Zulfadly dan Nurul Nur Syahirah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Lelaki menyamar ADC RMS dijel setahun, dua sebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lelaki yang sebelum ini disyaki menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor, dihukum penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku atas dua pertuduhan menipu berkaitan pembelian hartanah.

Majistret, Amirul Asyraf Abdul Rasid menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Zulfadly Alias, 40, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu serentak bermula tarikh tangkap.

Sementara itu, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan secara bersama.

Berdasarkan semua pertuduhan, mereka yang juga penganggur didakwa secara bersama menipu dan memperdaya seorang selebriti lelaki berkaitan tawaran pembelian aset hartanah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM30,000 melalui dua pindahan kredit ke dalam akaun bank milik Al Zulfadly di Jalan Wangsa Delima 11, Wangsa Maju pada 10 dan 12 Mei 2024.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham, manakala Al Zulfadly diwakili peguam, Mohd Ridzwan Warisi. Nurul Nur Syahirah pula diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan.

Terdahulu, Nurul Farhanah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada Al Zulfadly, sementara Nurul Nur Syahirah pula ditawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Ridzwan pula merayu anak guamnya hanya dikenakan penjara minimum dari tarikh tangkap kerana menanggung ibu serta pengakuannya menjimatkan masa mahkamah.

Shah Rizal memohon jumlah jaminan minimum buat Nurul Nur Syahirah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan ditanggung ibu bapanya.

“Anak guam saya sudah dipertuduhkan di Mahkamah Majistret Shah Alam dengan satu tuduhan pada Khamis lalu dan mahkamah benarkan jaminan RM10,000.

“Pada Jumaat lalu, tertuduh dituduh satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang dan mahkamah benarkan jaminan RM8,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali. Bapa tertuduh yang juga pesara sudah membayar jaminan bagi kedua-dua kes itu.

“Sebentar tadi, dia baru didakwa atas empat tuduhan lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dibenarkan jaminan RM15,000. Saya mohon jaminan minimum,” katanya

Mahkamah kemudiannya membenarkan wanita itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan 16 Disember ini sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN