Mas Ermieyati.

Peralihan MOT, kemelut AKPS tidak boleh jejas keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebarang perubahan atau peralihan kepimpinan politik di Kementerian Pengangkutan (MOT) dan kemelut kepimpinan tertinggi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak boleh sama sekali melumpuhkan proses membuat keputusan dan kawalan keselamatan lapangan terbang awam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ketua Setiausaha MOT selaku pegawai pengawal bersama Jemaah Menteri wajib memastikan kelangsungan tadbir urus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana peletakan jawatan Menteri Pengangkutan dan ketidaktentuan peralihan kepimpinan di kementerian itu tidak boleh melengahkan agenda transformasi operasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pascapenswastaan atau menjejaskan jadual projek berimpak tinggi.

“Sebagaimana yang direkodkan dalam prosiding PAC, platform utama penyelarasan dasar dan pemantauan projek kritikal penerbangan termasuk Majlis Perundingan Penerbangan Kebangsaan (NACC) dan Jawatankuasa Fasilitasi Lapangan Terbang Kebangsaan (NAFC) dipengerusikan secara langsung oleh Menteri Pengangkutan.

“Setiap cadangan pembangunan lapangan terbang juga memerlukan pertimbangan Menteri sebelum diangkat melalui Memorandum Jemaah Menteri (MJM),” katanya pada sidang media selepas membentangkan Penyata Tindakan Susulan Pengurusan Lapangan Terbang Awam di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai kemelut kepimpinan tertinggi AKPS, Mas Ermieyati berkata kekosongan atau gangguan rantaian perintah di peringkat tertinggi agensi itu tidak boleh dibiarkan.

Beliau berkata, keadaan itu tidak boleh menjejaskan kesiapsiagaan operasi, penyelarasan risikan antara agensi dan integriti kawalan sempadan, khususnya mengambil kira kes cubaan penyeludupan dadah dan barangan larangan bernilai jutaan ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“PAC menuntut jaminan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), MOT dan MAHB bahawa tahap keselamatan di kesemua pintu masuk negara terutamanya lapangan terbang awam berada pada tahap tertinggi tanpa sebarang kelompangan,” katanya.

Ditanya mengenai status Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilaporkan masih bertugas kerana belum menerima arahan rasmi pemulangan ke Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mas Ermieyati menyifatkannya sebagai perkembangan yang baik.

“Dia lebih mengetahui apa yang berlaku dalam AKPS. Kita harapkan segala apa yang berlaku sebelum ini telahpun dapat dipulihkan dan dapat meneruskan kerja-kerja sebagaimana sebelum ini serta dapat memberikan fokus sebenarnya kepada keselamatan negara berada pada tahap tertinggi,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN