SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan prosiding pendengaran saman pemula pembatalan pelantikan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada 18 November depan bagi memberikan ruang kepada pihak-pihak terlibat mengadakan rundingan penyelesaian secara damai.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh baharu itu selepas membenarkan permohonan peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili kesemua plaintif.
Beliau menetapkan prosiding tersebut berlangsung menerusi sidang video pada pukul 9 pagi.
Terdahulu, Mohd. Hafarizam memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak plaintif dan defenden bersetuju untuk berusaha menyelesaikan perkara itu secara baik.
Menurut Mohd. Hafarizam, perkembangan itu susulan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 Exco menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 10 November lalu.
Sehubungan itu, beliau memohon penangguhan bagi membolehkan semua pihak memuktamadkan terma penyelesaian, termasuk mendapatkan arahan serta persetujuan daripada anak guam masing-masing.














