KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mencabar tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai berjumlah RM5.02 juta.
Notis- notis taksiran tambahan itu ialah Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2017 bernilai RM2,558,875.90, Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2018 bernilai RM2,445,004.91 dan Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2019 berjumlah RM16,826.37 yang kesemua berjumlah RM5,020,707.18.
Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan selepas mendapati pertikaian berkenaan perlu terlebih dahulu dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah menerima hujahan LHDN bahawa semua isu yang dibangkitkan perlu diputuskan terlebih dahulu oleh SCIT memandangkan pemohon sudah memfailkan Borang Q (rayuan terhadap taksiran cukai) dan rayuan itu masih berjalan.
“Tiada keadaan luar biasa yang membolehkan pemohon memintas proses rayuan berkanun berkenaan dengan terus memohon semakan kehakiman. Justeru, mahkamah berpendapat permohonan ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa keputusan itu hanya menyentuh isu bidang kuasa dan tidak membabitkan merit atau asas pertikaian cukai berkenaan.
Justeru Hakim itu menyatakan pihak-pihak masih mempunyai hak untuk membawa perkara itu semula ke mahkamah selepas proses di SCIT selesai, tertakluk kepada undang-undang.
Sebelum ini, peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Mukhriz, 62, berhujah bahawa taksiran tambahan bagi tahun 2019 telah dijelaskan dan menyatakan notis berkenaan adalah tidak sah kerana ia dikeluarkan selepas tamat tempoh lima tahun yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Beliau berkata walaupun notis itu dikeluarkan selepas tempoh berkenaan LHDN sepatutnya menyatakan secara khusus alasan bagi pelanjutan tempoh tersebut sama ada disebabkan penipuan, keingkaran disengajakan atau kecuaian.
Sementara itu, Peguam Hasil Kanan (SRC) Marina Ibrahim berhujah bahawa notis tersebut dikeluarkan selepas tempoh asal kerana lanjutan masa telah diberikan kepada bekas Menteri Besar Kedah itu untuk menyelesaikan urusannya berhubung permintaan maklumat oleh LHDN.
Mukhriz selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu menerusi Tetuan Zharif Nizamuddin di sini pada 20 Disember 2024 di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.
Berdasarkan permohonan, Mukhriz memohon supaya satu Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama untuk mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan 2017, 2018 dan 2019 dengan alasan ultra vires, menyalahi undang-undang, melanggar keadilan semula jadi dan tidak munasabah.
Selain itu pemohon juga, memohon suatu deklarasi bahawa responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan sehingga menyebabkan responden mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tiga tahun tersebut dan mengakibatkan responden pertama mengeluarkan Sijil Di Bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Bagaimanapun pada 24 Julai tahun lalu, Anwar dan kerajaan berjaya dalam permohonan untuk mengeluarkan nama mereka dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh ketika itu memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Anwar atas kapasiti Menteri Kewangan dan kerajaan agar mahkamah membatalkan nama mereka selaku responden dalam semakan kehakiman berkenaan. – KOSMO! ONLINE














