KUALA TERENGGANU – Chan Chee How, 51, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Terengganu bagi mewakili masyarakat bukan Islam di negeri ini.
Ahli Jawatankuasa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Terengganu itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman di sini.
Lafaz angkat sumpah tersebut berlangsung pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Kelima Belas (Bajet) selepas usul pemilihannya mendapat persetujuan sebulat suara daripada ahli-ahli Dewan.
Usul pemilihan Chee How dikemukakan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris sebelum disokong ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim.
Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal XXVII (2), Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) yang membolehkan pemilihan wakil masyarakat bukan Islam sekiranya golongan itu tidak mempunyai wakil yang dipilih dalam DUN.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pelantikan berkenaan ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) DUN Ayer Keroh, Melaka minggu lalu. – KOSMO! ONLINE














