KUALA NERUS – Terengganu, Selangor, Johor dan Perak mengesahkan tempat ke separuh akhir kategori Terbuka Lelaki Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) selepas menamatkan saingan suku akhir di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, hari ini.
Skuad tuan rumah meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat dua kemenangan pada hari kedua kejohanan dengan menewaskan ATM 31-7 di peringkat kumpulan sebelum mengatasi PDRM untuk menempah tiket ke kelompok empat terbaik.
Menurut Hafiizh, kemenangan Selangor ke atas Kelantan selaku juara bertahan pada peringkat kumpulan menjadi petunjuk jelas mengenai kekuatan lawan mereka.
“Untuk Selangor menewaskan Kelantan selaku penyandang juara memberi kekuatan moral untuk mereka dan mungkin memberi satu amaran awal buat kami semua. Namun kami tetap untuk berwaspada mengurangkan kesilapan komunikasi di dalam pasukan bagi perlawanan separuh akhir nanti,” ujar anak jati Terengganu ini.
Terengganu bakal berdepan cabaran Selangor dalam aksi separuh akhir yang dijangka menjadi tumpuan selepas pasukan itu mencuri perhatian dengan menewaskan juara bertahan, Kelantan, pada peringkat kumpulan.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Johor akan membuat perhitungan dengan Perak selepas masing-masing menyingkirkan Sarawak dan Kedah pada peringkat suku akhir.
National 7s 2026 yang berlangsung selama tiga hari akan melabuhkan tirai esok dengan aksi separuh akhir dan final bagi semua kategori yang dipertandingkan. – KOSMO! ONLINE
















