Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail yang terletak di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus kembali menjadi venue Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) untuk tahun ke-3 berturut-turut.

National 7s janjikan persaingan lebih terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Kepulangan beberapa pasukan yang sebelum ini tidak menyertai Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) dijangka membuka persaingan lebih sengit apabila 38 pasukan berentap di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail bermula Jumaat ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (Malaysia Rugby), Amir Amri Mohammad berkata, penyertaan semula pasukan berkenaan memberi dimensi berbeza kepada kejohanan tahun ini, terutama dengan kesungguhan mereka memperkukuh pembangunan pemain muda.

“Kehadiran beberapa pasukan yang kembali ke pentas National 7s tahun ini bakal memberikan cabaran berbeza berbanding edisi terdahulu. Kebanyakan mereka telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan pemain muda dan kini lebih bersedia untuk bersaing dalam kategori utama,” katanya.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan sepanjang kejohanan tiga hari itu iaitu Lelaki Terbuka (15 pasukan), Wanita Terbuka (lima), Lelaki Bawah 21 Tahun (10) dan Wanita Bawah 21 Tahun (lapan).

Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah antara pasukan yang kembali bersaing dalam kategori Lelaki Terbuka yang turut menyaksikan pengenalan Piala Amir Amri menggantikan Piala Ung Khek Cheow.

Juara bertahan Lelaki Terbuka, Kelantan pula berdepan laluan awal mencabar apabila diundi bersama Johor, Selangor dan Pahang. Kelantan menjuarai edisi lalu selepas menewaskan Johor 17-12 pada perlawanan akhir, manakala Selangor yang memenangi kategori Wanita Terbuka dan Wanita Bawah 21 Tahun tahun lalu hanya menghantar pasukan bawah 21 tahun kali ini.

Terengganu dan Johor menjadi satu-satunya negeri yang menghantar pasukan dalam keempat-
empat kategori.

Mengulas persiapan kejohanan ketika Terengganu memasuki Monsun Timur Laut, Amir Amri berkata keadaan cuaca ketika ini tidak menjadi kebimbangan utama, namun pihak penganjur tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Kedudukan stadium dalam zon bebas banjir serta penempatan kebanyakan pasukan dan pegawai di sekitar venue turut membantu kelancaran kejohanan yang berlangsung di lokasi sama buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN