KUALA NERUS – Usaha menyediakan lebih banyak platform perlumbaan kepada pelumba pacuan empat roda (4×4) di Pantai Timur terus diberi perhatian Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4), dengan sokongan Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu kelab itu meneruskan penganjuran di Terengganu.
Presidennya, Muhammad Muzzammil Mokhetar, berkata sokongan berkenaan penting bagi memastikan penganjuran Terengganu 4X4 Merdeka Challenge dapat diteruskan walaupun kos mengendalikan perlumbaan meningkat dari tahun ke tahun.
Beliau berkata, peningkatan kos bukan sahaja dipengaruhi keadaan ekonomi semasa, malah melibatkan pelbagai keperluan operasi seperti pengurusan sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik serta risiko kewangan yang perlu ditanggung penganjur selepas perlumbaan berakhir.
“Kos penganjuran saban tahun kian meningkat sama ada terkesan oleh kerana faktor ekonomi semasa mahupun keperluan berkaitan dengan penganjuran yang sememangnya kita tidak dapat untuk dielakkan seperti pengurusan sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik dan lain-lain yang hadir dengan harganya tersendiri.
“Begitu juga dengan sebarang risiko melibatkan wang ringgit yang ditanggung oleh kami selepas tamat perlumbaan,” katanya.
Menurut Muhammad Muzzammil, tanggapan bahawa penganjuran sukan permotoran di peringkat komuniti mampu memberikan keuntungan besar kerana mendapat sokongan dana atau penajaan kerajaan tidak menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi penganjur.
“Ramai beranggapan menjadi penganjur sukan permotoran di peringkat komuniti ini seolah-olah kami menjana keuntungan semata-mata apatah lagi menerima sokongan dana atau penajaan dari kerajaan, realiti sebaliknya.
“Kami pikul tanggungjawab selaku penganjur kerana ketandusan perlumbaan di negeri Pantai Timur ini, di mana ramai dalam kalangan pelumba tidak berkemampuan untuk berlumba di negeri lain,” ujarnya.
Jelasnya, dana yang diterima melalui GPS hanya menampung kira-kira separuh daripada keseluruhan kos penganjuran, manakala baki perbelanjaan perlu ditampung menerusi sumbangan kewangan atau sokongan perkhidmatan daripada agensi kerajaan tempatan, penaja kecil serta individu yang mempunyai minat terhadap sukan permotoran.
Sokongan pelbagai pihak itu turut membolehkan UT 4×4 menyediakan beberapa aktiviti sampingan sepanjang penganjuran, termasuk pertandingan mewarna, ruang pameran serta penyampaian maklumat oleh agensi berkaitan kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Muhammad Muzzammil berkata pihaknya turut memastikan setiap penganjuran disokong dokumentasi lengkap termasuk laporan perbelanjaan bagi memastikan penggunaan dana dapat dipantau secara telus.
Katanya, pendekatan itu turut membantu UT 4×4 mengekalkan kepercayaan KBS untuk menerima sokongan GPS bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.
Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 berlangsung selama dua hari bermula 5 September lalu dengan penyertaan 56 pelumba dari seluruh negara, membabitkan tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).
Acara tahunan itu dianjurkan UT 4×4 dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal, selain mendapat sokongan KBS, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu. – KOSMO! ONLINE
















