KUALA NERUS – Terengganu mengekalkan peluang untuk terus bersaing dalam perebutan kejuaraan National 7s 2026 apabila pasukan lelaki dan wanita tuan rumah masing-masing menamatkan hari pertama saingan peringkat kumpulan tanpa kekalahan.
Bagi kategori Terbuka Lelaki, Terengganu mencatat keputusan seri 14-14 ketika berdepan Kedah dalam aksi yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.
Skuad wanita pula mempamerkan aksi lebih dominan apabila mencatat dua kemenangan besar dengan menewaskan PDRM 52-0 sebelum membelasah Melaka 43-0.
Keputusan positif itu memberikan permulaan baik kepada pasukan tuan rumah dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari berkenaan.
Bagaimanapun, perhatian pada hari pertama turut tertumpu kepada Kelantan apabila juara bertahan itu kehilangan rekod tanpa kalah selepas tewas 14-19 kepada Selangor dalam kategori Terbuka Lelaki.
Selangor memulakan perlawanan dengan cukup pantas apabila menghasilkan try dalam tempoh kurang seminit untuk mendahului 7-0.
Kelantan kemudian bangkit menyamakan kedudukan 7-7 pada penghujung separuh masa pertama sebelum Selangor kembali menguasai permainan dan mendahului 12-7 selepas rehat.
Usaha Kelantan untuk menyelamatkan perlawanan menerusi tambahan tujuh mata pada penghujung aksi tidak mencukupi apabila Selangor mengekalkan kemenangan 19-14.
Terdahulu, Kelantan mencatat kemenangan ke atas Pahang dengan kutipan 31 mata pada perlawanan pembukaan.
Kelantan dijadualkan berdepan Johor pada Sabtu dalam aksi yang pastinya menarik perhatian selepas pasukan itu turut mempamerkan prestasi cemerlang dengan menewaskan Pahang 43-0 dan Selangor 24-7.
Sebanyak 34 perlawanan peringkat kumpulan berlangsung sepanjang hari pertama kejohanan sebelum baki saingan kumpulan diteruskan pada Sabtu bagi menentukan kedudukan pasukan ke peringkat suku akhir.
Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan itu berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu dan dijadualkan melabuhkan tirai Ahad ini. – KOSMO! ONLINE
















