PETALING JAYA – Suasana pilu menyelubungi Hospital Putrajaya apabila petugas kesihatan memberikan penghormatan terakhir kepada seorang pesara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang hasrat murninya untuk mendermakan organ ditunaikan oleh ahli keluarga selepas pemergiannya.
Allahyarham Dr. Wan Hasamudin Wan Hasan yang meninggal dunia semalam menerima penghormatan menerusi acara ‘Walk of Honour’ di hospital berkenaan hari ini.
Menerusi video yang dikongsikan MPOB di Facebook, kelihatan petugas kesihatan berdiri di sepanjang laluan hospital bagi memberikan penghormatan terakhir ketika katil Allahyarham ditolak oleh pasukan perubatan.
Suasana penuh hiba itu turut menyentuh hati orang ramai apabila pengorbanan terakhir Allahyarham disifatkan sebagai satu tindakan mulia yang berpotensi memberikan peluang kehidupan kepada individu lain.
Menurut MPOB, penghormatan berkenaan diberikan selepas keluarga Allahyarham menunaikan hasratnya untuk menjadi penderma organ.
“Allahyarham Wan Hasamudin Wan Hasan menerima ‘Walk of Honour’ daripada kakitangan perubatan Hospital Putrajaya selepas keluarga Allahyarham menunaikan hasrat murni Allahyarham untuk menderma organ.
“Semoga pengorbanan terakhirnya di muka bumi ini menjadi amal jariah yang mengalir pahalanya, serta menjadi saham buat Allahyarham di akhirat kelak. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, MPOB turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham semalam sambil mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sementara itu, perkongsian video berkenaan turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya tersentuh dengan pengorbanan Allahyarham serta keputusan keluarganya untuk meneruskan hasrat murni tersebut.
Seorang pengguna Threads @waananwar menyifatkan penderma organ dan keluarganya sebagai wira sebenar kerana sanggup berkongsi kehidupan ketika berdepan saat paling sukar.
“Bukan mudah hendak melepaskan ahli keluarga tersayang, tetapi lebih luar biasa apabila memilih untuk berkongsi kehidupan ketika mereka berduka.
“Kepada penderma dan keluarga, kamu adalah wira sebenar. Terima kasih Tuan Wan Hasamudin Wan Hasan dan keluarga,” katanya.
Seorang lagi pengguna @nazarzvk berkata, dia berasa sebak selepas mendengar pengumuman mengenai penderma organ itu di Hospital Putrajaya pagi tadi.
“Pagi tadi Hospital Putrajaya membuat pengumuman mengenai seorang penderma organ dan memberikan sedikit pengenalan berkenaan Allahyarham.
“Rasa sebak mendengarnya dan bangga kerana organ Allahyarham dapat menyelamatkan nyawa orang lain. Al-Fatihah kepada Allahyarham,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














