KEHILANGAN sebelah kaki bukan sekadar kehilangan anggota badan. Bersamanya turut hilang keyakinan, kebebasan bergerak dan sebahagian impian yang pernah dibina.
Namun, di sebalik kehilangan itu, masih ada ruang untuk harapan tumbuh semula.
Di sebuah makmal penyelidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru, sekumpulan penyelidik membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar mengenai mesin dan komputer, sebaliknya mampu menjadi jambatan yang menghubungkan semula seseorang dengan kehidupan yang pernah dirasakan hilang.
Segalanya bermula daripada satu pertemuan yang tidak pernah dirancang. Seorang pesakit yang masih setia memakai kaki palsu usang selama tujuh tahun membuka mata penyelidik bahawa ramai individu kehilangan anggota badan sebenarnya hidup dalam kesakitan kerana tidak mampu memiliki prostetik baharu.
Kaki palsu yang dipakai pesakit itu sudah retak, rosak dan hampir tidak lagi berfungsi dengan sempurna.
Namun, kekangan kewangan memaksanya terus bergantung kepada alat tersebut walaupun setiap langkah membawa rasa sakit.
Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee, pemandangan itu cukup meninggalkan kesan sehingga mengubah hala tuju penyelidikannya.
Ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada tahun 2020, beliau bersama pasukannya mula memikirkan satu penyelesaian yang bukan sahaja lebih selesa, malah mampu dimiliki lebih ramai pesakit.
“Apabila melihat sendiri keadaan pesakit itu, kami sedar teknologi yang ada di universiti sepatutnya digunakan untuk membantu masyarakat, bukan sekadar berada di makmal,” katanya kepada K-Kampus.
Daripada situ lahirlah idea membangunkan kaki palsu menggunakan teknologi pengimbasan tiga dimensi (3D) dan percetakan 3D, sekali gus menjadikan setiap prostetik dihasilkan mengikut bentuk sebenar kaki pemakainya.
Berbeza dengan kaedah konvensional yang banyak bergantung kepada acuan manual, teknologi ini bermula dengan proses mengimbas tunggul kaki pesakit menggunakan pengimbas digital berketepatan tinggi.
Data yang diperoleh kemudian dibawa ke makmal untuk dianalisis sebelum direka bentuk secara digital.
Selepas itu, komponen utama dicetak menggunakan mesin pencetak tiga dimensi (3D) dengan pelbagai parameter yang telah diuji selama hampir dua tahun.
Hasilnya bukan sekadar sebuah kaki palsu, tetapi satu soket yang benar-benar mengikut geometri kaki setiap individu sehingga mampu mengurangkan tekanan pada bahagian tertentu ketika berjalan.
Menurut Dr. Muhammad Hanif, setiap manusia mempunyai bentuk anggota badan yang unik. Justeru, konsep satu saiz untuk semua tidak lagi sesuai digunakan dalam pembangunan prostetik moden.
Bahan yang digunakan pula terdiri daripada polimer khas yang diperkukuhkan dengan lapisan gentian tertentu bagi memastikan ia ringan, tahan lasak dan mampu menampung aktiviti harian pengguna.
Walaupun formula sebenar bahan tersebut dirahsiakan sebagai harta intelek universiti, gabungan material itu berjaya menghasilkan prostetik yang lebih kukuh berbanding penggunaan polimer biasa.
Selepas hampir dua tahun menjalankan penyelidikan dan pembangunan, prototaip pertama akhirnya berjaya disiapkan sebelum diserahkan kepada pesakit pada tahun 2022.
Maklum balas yang diterima amat menggalakkan apabila ramai pengguna mengakui kaki palsu tersebut lebih ringan, lebih stabil dan jauh lebih selesa berbanding prostetik konvensional yang pernah mereka gunakan.

Lebih membanggakan, inovasi itu turut berjaya mengurangkan kos pemilikan sehingga kira-kira 30 peratus berbanding harga kaki palsu asas di pasaran yang boleh mencecah sekitar RM5,000.
Di sebalik kejayaan penyelidikan itu, terselit juga kisah seorang anak muda yang menjadikan projek tersebut sebagai misi hidupnya.
Muhammad Aizad Naqiuddin Muhammad Nasir, 23, tidak pernah menyangka latihan industrinya di sebuah syarikat prostetik akhirnya membuka jalan untuk dirinya mendalami dunia pembangunan kaki palsu berteknologi tinggi.
Pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan UTM itu mengakui pengalaman bertemu sendiri pesakit telah mengubah caranya melihat bidang kejuruteraan.
Baginya, setiap pesakit hadir dengan cerita yang berbeza. Ada yang kehilangan kaki akibat kemalangan, ada juga kerana penyakit kronik seperti diabetes. Namun semuanya berkongsi impian yang sama, mahu berjalan semula.
Setiap kali turun ke lapangan, beliau bukan sekadar mengukur atau mengimbas kaki pesakit, malah mendengar luahan hati mereka tentang kesukaran menjalani kehidupan tanpa anggota badan.
Menurutnya, tiada satu reka bentuk yang sesuai untuk semua orang kerana setiap kaki mempunyai bentuk, tekanan dan tahap keselesaan yang berbeza.
Atas sebab itu, setiap prostetik perlu melalui beberapa siri pengubahsuaian sehingga benar-benar memenuhi keperluan individu sebelum digunakan secara kekal.
Melihat sendiri senyuman pesakit yang kembali mampu berjalan menjadi kepuasan paling besar buat dirinya sebagai seorang bakal jurutera bioperubatan.
Pengalaman tersebut turut menyemarakkan impiannya untuk menubuhkan syarikat pemula niaga sendiri pada masa hadapan agar lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat menikmati teknologi itu pada harga lebih rendah.
Antara individu yang telah pun merasai sendiri manfaat inovasi tersebut ialah Mohd Adi Md. Sanif, 42, yang kehilangan kaki kanan akibat komplikasi diabetes.
Selepas menjalani amputasi di bawah lutut, beliau pernah bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda kerana kaki palsu konvensional menyebabkan tunggul kakinya melecet dan terlalu sakit untuk dipakai.
Namun selepas menggunakan kaki palsu cetakan 3D keluaran UTM, kehidupannya berubah sedikit demi sedikit.
Dia kini kembali memandu kereta dan motosikal, bekerja seperti biasa, malah mampu melakukan aktiviti harian termasuk memotong rumput di halaman rumah.
Paling menyentuh hati, dia kini dapat kembali menunaikan solat dengan lebih sempurna tanpa perlu bergantung kepada kerusi.
Bagi Mohd. Adi, inovasi itu bukan sekadar menghadiahkan sepasang kaki baharu, tetapi mengembalikan maruah, keyakinan dan peluang untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna.
Itulah bukti bahawa apabila ilmu bertemu nilai kemanusiaan, teknologi tidak lagi sekadar ciptaan, sebaliknya menjadi sinar harapan buat mereka yang pernah kehilangan langkah.














