Gambar hiasan.

IPU Batu Muda dipantau, bacaan lebih 150 sejak dua hari lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pemantauan menggunakan dron serta peralatan pemantauan kualiti udara tambahan bagi menyiasat perbezaan ketara bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) antara Stesen Batu Muda dan Stesen Cheras, di sini.

Menurut kenyataan JAS hari ini, langkah itu diambil susulan bacaan IPU di Stesen Pengawasan Kualiti Udara Batu Muda yang kekal pada tahap tidak sihat, melebihi 150 sejak dua hari lalu, berbanding stesen berhampiran di Cheras yang hanya merekodkan bacaan kira-kira 60.

Peralatan tambahan dipasang berhampiran Stesen Batu Muda untuk memperoleh data sokongan bagi tujuan analisis teknikal, dengan dapatan awal akan dimaklumkan selepas pemantauan selama 24 jam dan semakan teknikal selesai.

“Pada masa yang sama, pemantauan udara menggunakan dron turut dilaksanakan bagi membantu mengenal pasti kemungkinan punca pelepasan pencemar udara, termasuk aktiviti pembakaran terbuka di kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, JAS memaklumkan siasatan yang bermula semalam melibatkan pemeriksaan stesen pengawasan, rondaan lapangan serta pengesanan punca pencemaran di kawasan sekitar.

“Pemeriksaan awal mendapati stesen berkenaan beroperasi dengan baik. Bagaimanapun, semakan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengesahkan bacaan yang direkodkan.

“Hasil rondaan mendapati dua kejadian pembakaran terbuka berskala kecil telah dikenal pasti dan kedua-dua kebakaran tersebut berjaya dipadamkan pada hari yang sama,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, JAS mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah, dan premis kepunyaan mereka dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Mereka yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain kompaun tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum atas setiap kesalahan.

Orang ramai turut diminta membantu memadamkan kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi talian 999 atau talian bebas tol JAS, 1-800-88-2727.

Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman sesawang https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS yang boleh dimuat turun melalui Google Play atau App Store. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN