KATHMANDU – Seorang pelancong warga India maut manakala seorang warga New Zealand cedera apabila dua buah helikopter bertembung dan terhempas ketika cuba mendarat di wilayah Everest, Nepal hari ini.
Helikopter bersaiz kecil digunakan secara meluas di negara Himalaya itu untuk membawa pelancong, pendaki dan bekalan, selain digunakan bagi operasi pemindahan kecemasan.
Bentuk muka bumi negara itu yang mencabar serta keadaan cuaca yang pantas berubah menjadikan operasi penerbangan sangat berbahaya.
Helikopter-helikopter kecil yang dikendalikan oleh syarikat Fishtail Air dan Air Dynasty itu saling bertembung ketika kedua-duanya sedang mendarat di kawasan bersalji di daerah Solukhumbu.
Ketua Polis Daerah Solukhumbu, Nabin Raja Budhathoki berkata, pelancong warga India berusia 47 tahun itu maut di tempat kejadian.
“Warga New Zealand berusia 53 tahun yang cedera pula telah diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kedua-dua juruterbang terselamat dalam kemalangan tersebut. – AFP
















