KLUANG – Belum reda pencemaran sisa minyak kelapa sawit di Sungai Sembrong kira-kira dua bulan lalu, penduduk di Kahang di sini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian pencemaran sungai apabila air Sungai Gedoh bertukar putih pekat dan dipenuhi keladak, petang semalam.
Kejadian yang dipercayai berpunca daripada pelepasan air dari sebuah lombong pasir di bahagian hulu sungai itu dikesan kira-kira pukul 6.30 petang sebelum menimbulkan kebimbangan masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada sungai berkenaan untuk mencari rezeki.
Sungai Gedoh merupakan antara rangkaian sungai yang mengalir ke Sungai Sembrong dan Sungai Kahang.
Penyelaras Masyarakat Orang Asli Sembrong, Tok Batin Sari Achu berkata, pelepasan air dari lombong pasir itu sudah berulang beberapa kali meskipun tindakan pernah diambil oleh pihak berkuasa.
“Pada awal September lalu, ribuan ikan dan udang galah mati akibat pencemaran sisa minyak sawit, namun kini sungai sekali lagi tercemar dengan keladak daripada lombong pasir pula.
“Walaupun kejadian kali ini tidak menyebabkan kematian hidupan air seperti ikan dan udang galah, keadaan itu tetap boleh menjejaskan ekosistem sungai, terutama benih anak ikan yang dilepaskan oleh Lembaga Perikanan Johor kira-kira dua bulan lalu,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Mahat Maya bagi menggesa pihak berkuasa, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE
















