GELANGGANG Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand bukan sekadar pertandingan nyanyian antarabangsa, sebaliknya menjadi medan penting untuk mengukur kemampuan karya dan bakat muzik Malaysia bersaing di peringkat lebih luas.
Lebih bermakna, penyertaan sulung Malaysia menerusi penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul, meletakkan perhatian terhadap industri muzik tempatan yang sekian lama mempunyai bakat besar, namun masih memerlukan lebih banyak ruang untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, membawa cabaran negara menerusi lagu ciptaannya bersama Mac Chew berjudul Bluest Sky, berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat peserta terbaik di belakang Filipina, Thailand dan Vietnam.
Bagi Aina, peluang beraksi di pentas berkenaan hadir pada waktu yang cukup penting dalam perjalanan seninya. Dikenali dengan vokal bertenaga, persembahan dramatik serta penampilan fesyen avant-garde, dia mempunyai kelebihan tersendiri untuk mencuri perhatian penonton antarabangsa.
Malah, Aina turut melihat Eurovision sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan muzik tempatan kepada khalayak lebih besar.
Dalam temu bual bersama media antarabangsa, dia menyifatkan sudah tiba masanya pertandingan berprestij itu diperluaskan ke Asia kerana penggiat muzik di rantau ini juga memerlukan ruang untuk diketengahkan.
“Kita semua peminat muzik dan mahu dikenali. Kami merasakan Eurovision adalah platform terbaik untuk mencapai tujuan itu,” katanya.
Menariknya, Aina bukan sekadar hadir sebagai penyanyi yang mengharapkan kekuatan vokal semata-mata, sebaliknya turut membawa identiti sebagai pencipta lagu.
Kemampuannya menghasilkan karya sendiri menjadi antara kelebihan yang membezakan dirinya daripada sebahagian peserta lain, selain memberikan gambaran bahawa muzik Malaysia mempunyai potensi untuk bersaing melalui karya asli.
Lagu Bluest Sky yang dipertaruhkan juga mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana diinspirasikan daripada pengalaman sebenar berkaitan perasaan cinta dan kasih sayang.
Pendekatan itu memberikan dimensi peribadi kepada karya berkenaan, sekali gus membolehkan Aina menyampaikan emosi yang lebih dekat dengan dirinya ketika berada di pentas.
Tidak kurang mencuri perhatian adalah persiapan busana persembahan Aina yang dilaporkan mengambil masa kira-kira 600 jam untuk disiapkan.
Bagaimanapun, cabaran sebenar Aina bukan sekadar memberikan persembahan terbaik, sebaliknya memastikan karyanya mampu meninggalkan kesan kepada penonton dan juri yang mempunyai latar budaya serta cita rasa muzik berbeza.
Dia berdepan satu keunikan sistem pengundian pertandingan berkenaan apabila penonton tidak dibenarkan mengundi wakil negara sendiri. Situasi tersebut bermakna sokongan peminat Malaysia perlu diperluaskan kepada penonton di negara lain
Penyertaannnya dalam Eurovision Asia wajar dilihat lebih besar daripada soal menang atau kalah. Moga keputusan yang tidak begitu memihak terus memarakkan motivasinya untuk berkarya. – KOSMO! ONLINE














