GEORGETOWN – Seorang doktor berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin (wind surfing) di perairan Tanjung Bungah, di sini, semalam ditemukan meninggal dunia pagi ini.
Mangsa, Dr. Khaw Chun Sein ditemukan terdampar di atas batu di pesisir pantai berhampiran Straits Quay Retail Marina pada pukul 9.56 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Operasi carilamat hari kedua meliputi kawasan seluas 94.76 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada lima sektor pencarian laut dan satu sektor pencarian udara di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan berhampiran Chinese Swimming Club, Tanjung Bungah semalam. – KOSMO! ONLINE














