SEREMBAN – Dua daripada tiga ahli keluarga yang ditahan berhubung kes seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an yang dipercayai dipukul sehingga meninggal dunia pada 4 November lalu bakal didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, arahan untuk mendakwa kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita telah diberikan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya selepas meneliti kertas siasatan kes tersebut.
Alzafny berkata, manakala seorang lagi suspek wanita yang ditahan reman sebelum ini akan dijadikan saksi pendakwaan.
“Dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan pada 13 November lalu untuk penelitian dan arahan lanjut sebelum arahan pertuduhan diberikan terhadap dua individu terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














