Isu hangat pada hujung minggu lalu.

Takdir undi: PRN, Aina dan Farhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sudah lumrah undian, banyak undi berjayalah, tidak cukup maka kalah dan melepaslah.

Menelusuri hujung minggu lalu, macam-macam cerita hangat berkaitan undi berlaku. Daripada arena politik hinggalah pentas hiburan sebenua dan tempatan.

Sabtu lalu, rakyat Melaka mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN). Gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menang 24 daripada 28 kerusi, sekali gus memiliki majoriti lebih daripada mencukupi (dua pertiga) untuk membentuk kerajaan negeri.

Tahniah juga buat 472,388 pemilih yang keluar mengundi.

Malam Sabtu pula, penyanyi bervokal padu Malaysia, Aina Abdul membawa nama negara dalam Eurovision Asia.

Kerana undian, Aina terlepas kedudukan top 3 apabila mendapat tempat keempat keseluruhan.

Dalam hal ini, jika ditanya sejauh mana relevannya undian dalam konteks serantau atau antarabangsa pada apa jua pertandingan, penulis sebenarnya kurang gemar kerana memang sukar buat negara yang agak kecil seperti Malaysia.

Di negara Asia Tenggara sahaja, dari segi populasi negara kita sudah kalah kepada banyak negara pesaing. Kita cuma 34 juta, Filipina rakyatnya tiga kali ganda kita (118 juta), Thailand dua kali ganda (71 juta), Vietnam hampir tiga kali ganda (101 juta). Itu belum lagi Indonesia yang lapan kali ganda (284 juta). Pendek kata, siapapun wakil kita pasti berdepan misi sukar untuk bergelar juara bila melibatkan undian satu dunia.

Malam Ahad pula, demam Gegar Vaganza Fantasia berterusan apabila empat nama penghuni hotseat telah diumumkan. Tahniah buat Akim (25.34%), Farah (16.09%), Felix (13.67%) dan Ara Johari (8.71%) kerana meraih undian tertinggi.

Namun, setelah senarai penuh keputusan undian 25 alumni Akademi Fantasia (AF) untuk diserap masuk dikongsikan ada sesuatu yang menarik perhatian netizen. Berdasarkan keputusan undian yang dikongsikan Bernama di Threads, peserta AF4, Farhan yang menduduki tempat kelima meraih 8.61%, hanya kurang 0.1 daripada tempat keempat. Sikit lagi!

Disebabkan itu hangat juga Threads dengan kata-kata sokongan buat Farhan apabila ramai yang bersimpati.

“Tolonglah bagi satu lagi hotseat untuk Farhan! Kata Akademi Fantasia penuh ‘kezutan’,” kata netizen cypa.myra.

“Aku rasa kalau Astro nak nampakkan GVF kali ni betul-betul meletop kena bawa masuk juga Farhan sebenarnya. Baru mencabar peserta lain,” kata myjuandanza.

Mendapat undian agak banyak di tengah nama-nama pesaing jauh lebih popular serta digilai adalah manifestasi kerinduan ramai untuk kembali melihat Farhan di pentas sebegini.

Pemenang tempat ketiga AF4 bervokal unik dengan nuansa jazz dan klasik ini bahkan pernah tercalon vokal wanita terbaik Anugerah Industri Muzik-14 pada 2007 hanya berbekalkan album kompilasi nyanyian ‘live’ dirinya di AF!

Tiada sebarang album penuh dan mungkin disangkakan ‘menyepi’, Farhan yang pernah diramal pemenang pertama wanita AF namun terpalit cerita-cerita fitnah orang seperti ‘janda anak satu’ semasa AF musimnya menerusi satu podcast bersama Syahril Kadir bertajuk ‘Dari AF ke Pentas Istana’ baru-baru ini mengakui bersyukur kerana rezekinya terus bertahan sehingga hari ini.

Dedah Farhan, dia tidak putus-putus menerima undangan korporat, eksklusif dan majlis-majlis diraja. Dia sentiasa percaya kepada rezeki dan terus melakukan apa yang paling dicintainya dari dahulu hingga kini iaitu menyanyi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN