PETALING JAYA- Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itu peribahasa paling sesuai bagi menterjemahkan jasa seorang pemuda berusia 23 tahun di Kelantan yang telah mendermakan organnya bagi menyelamatkan 10 nyawa orang lain.
Berdasarkan video dikongsikan seorang pengguna Threads @syasylvie, beliau mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya dikenali sebagai Muhammad Aidil Ahmad Zupardi menerusi penghormatan ‘Honor Walk’.
“Honor Walk untuk Aidil. Terima kasih telah selamatkan 10 nyawa lain, semoga syurga buatmu sahabat,” tulisnya.
Terdahulu, menerusi beberapa video dikongsikan di media sosial sejak semalam turut memaparkan suasana pilu menyelubungi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian apabila kakitangan hospital memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Aidil.
Lampu hijau turut dinyalakan di bangunan hospital berkenaan sebagai tanda penghormatan dan simbolik proses pembedahan pendermaan organ.
Sementara itu, ahli keluarga Muhammad Aidil dikenali sebagai Siti Hawa berkata, mereka sekeluarga bersetuju membenarkan pihak hospital melakukan pembedahan pendermaan organ untuk adiknya.
“Assalamualaikum semua, di sini saya sebagai ahli keluarga Muhammad Aidil ingin membuat klarifikasi terdapat salah faham antara pihak keluarga dan doktor pada hari kejadian.
“Jadi hari ini, (semalam) doktor sudah menjelaskan ada dua jenis kematian, (iaitu) kematian jantung dan kematian otak. Aidil mengalami kematian otak walaupun organ beliau yang lain berfungsi dengan baik.
“Organ beliau yang lain bergantung hidup pada mesin, jika mesin itu diputuskan, Aidil tidak mampu bernafas sendiri. Jadi, dalam erti biologi, Aidil memang sudah tidak ada dan kes ini adalah satu dalam 10,000,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Katanya, Allahyarham adalah insan terpilih dan mereka sekeluarga membenarkan hospital mendermakan beberapa organ untuk dijadikan amal jariah berterusan buat beliau di dunia.
“Insya-Allah selepas pembedahan terakhir, Aidil akan disemadikan esok (hari ini) jika tiada aral melintang. Kami sekeluarga berharap semua dapat menitipkan doa untuk Aidil,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














