PETALING JAYA – Berdepan kes kononnya ‘digesel’, pelakon Puteri Balqis bersedia dengan dokumen lengkap setebal 20 muka surat beserta bukti kukuh termasuk rakaman video berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pelakon lelaki di set penggambaran sebuah drama.
Pemilik nama penuh Puteri Balqis Azizi atau Aqish, 19, itu berkata, semua pendedahan yang dikemukakan pihaknya adalah fakta sebenar tanpa sebarang rekaan dan proses siasatan sedang dilakukan pihak berkuasa.
“Sebanyak 20 muka surat beserta bukti, termasuk rakaman video.
“Tak ada satu pun cerita yang ditokok tambah. Proses masih berjalan,” tulisnya menerusi hantaran dalam InstaStory hari ini.
Dalam perkongsian sama, pelakon drama Keluarga Itu itu turut meluahkan tentang cabaran dan bebanan emosi yang terpaksa dilaluinya demi menuntut keadilan serta kebebasan.
Pada masa sama, dia turut menitipkan doa agar kebenaran akhirnya berpihak kepadanya selain berharap individu yang cuba menyembunyikan perkara sebenar menerima balasan setimpal.
“Begini rupanya berat yang perlu ditanggung bila bersuara tentang perkara benar.
“Semoga kebenaran mendapat tempat pada waktu yang paling tepat. Semoga doa kami didengar.
“Dan yang menyembunyikan akhirnya mendapat balasan,” ujarnya lagi.
Syarikat produksi Global Film Station Sdn. Bhd. bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung isu melibatkan Puteri Balqis dan Zarif.
Sementara, Zarif turut tampil bersuara menerusi satu kenyataan menafikan sebarang dakwaan salah laku terhadap Puteri Balqis yang dikaitkan dengan dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Semalam, pelakon Puteri Balqis memaklumkan telah menerima maklum balas daripada pihak produksi, Global Station, bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan gangguan seksual yang didedahkannya sebelum ini membabitkan seorang pelakon lelaki.
Sebelum itu, Aqish meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.
Dia turut mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan termasuk bergesel dengannya.
Luahan tersebut tercetus selepas dia menzahirkan rasa kurang senang selepas mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya. – KOSMO! ONLINE














