PETALING JAYA – Pelakon Puteri Balqis meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.
Puteri Balqis atau nama sebenarnya Puteri Balqis Azizi, 19, berkata, dia mengambil pendekatan sendiri untuk bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa aktor berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Tegasnya, dia tidak gentar berdepan kecaman atau dilabel sebagai pelakon biadab, kerana baginya menjaga maruah dan batas pergaulan sepanjang berada di set penggambaran lebih penting.
“Kau nak maki aku beramai-ramai, kau maki. Nak cakap aku biadab, cakap. Aku memang tidak suka pelakon yang suka berlagak dan bergesel tanpa sebab dengan aku.
“Aku sendiri yang pergi jumpa pengarah, bukan aku sembang saja. Aku sendiri yang minta kurangkan babak pegang sebab ada pelakon yang asyik ambil kesempatan bergesel tempat yang tidak sepatutnya dengan aku.
“Banyak kali, tahu? Dan jangan cakap pelakon tidak tahu apa tujuan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Bagaimanapun, pelakon yang mesra disapa Aqish itu tidak mendedahkan identiti aktor lelaki yang didakwa berbuat demikian.
Sementara itu, Aqish turut berkongsi pengalaman positif bekerja dengan beberapa pelakon lelaki lain termasuk Amir Ahnaf dan Aedy Ashraf yang disifatkan sentiasa menghormati batas pergaulannya.
Malah, dia memuji sikap profesional beberapa pelakon lelaki yang sudah berkahwin kerana sentiasa menjaga batas ketika menjayakan babak bersama tanpa memerlukan dirinya meminta pengarah mengubah skrip.
“Walaupun Amir Ahnaf, aku berlakon berbulan dengan dia. Babak semua berat. Dia sendiri yang sentiasa ingatkan diri bahawa aku ada batasan dengan lelaki. Tidak pernah sekali pun Amir Ahnaf ambil kesempatan atau sengaja bergesel dengan aku.
“Aedy Ashraf pula, berlakon babak peluk sebagai abang, tiada teraba-raba aku. Cukup hormat.
“Malah pelakon yang sudah berkahwin seperti Aiman Hakim, Ady Mohamad, Jazmy Juma dan Kodi Rasheed semua tahu batas. Aku tidak perlu pergi jumpa pengarah sendiri untuk beritahu kurangkan babak yang tidak okey. Habis babak, terus keluar. Masing-masing tahu ini kerja,” ujarnya.
Terdahulu, Aqish turut meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.
Menjelaskan dirinya tidak berminat menjalin hubungan dengan mana-mana pelakon lelaki, dia menyifatkan golongan lelaki dalam industri hiburan sebagai membosankan. – KOSMO! ONLINE














