PETALING JAYA – Bintang yang sedang meningkat naik, Azeva tidak mahu sikap merendah-rendahkan sesama sendiri berlaku kepada mana-mana pihak khususnya kepada khalayak yang mengikuti perkembangan karier seninya.
Pemilik nama sebenar, Wan Azeva Natassha binti Wan Aminuddin, 25, itu juga menitipkan pesanan agar setiap orang sentiasa menjaga adab dan tutur kata ketika berbicara tentang orang atau berada dalam apa jua situasi sekali pun.
‘Harap apa pun yang jadi, kita semua jaga tutur kata. Tak perlulah sampai merendahkan sesiapa,’katanya.
Tanpa merujuk isu atau mana-mana individu, bintang Talk To My Manager itu juga menambah, tiada terdetik di hatinya untuk mendoakan keburukan menimpa sesiapa.
“Apa pun yang berlaku, saya tak pernah mengharapkan keburukan menimpa sesiapa. Doakan yang baik baik je okey,” tulisnya dalam aplikasi Threads yang mengundang pelbagai reaksi umum.
Pada awal minggu, tular potongan video yang memaparkan Azeva menangis dan tubuhnya kelihatan terketar-ketar sebelum menghentikan siaran langsungnya secara tiba-tiba. Kejadian ini mengundang kebimbangan peminat yang melihat beliau beremosi susulan tekanan dan tohmahan yang diterima.
Azeva ketika itu mengakui tidak mampu menghalang segelintir pihak daripada terus melemparkan kata-kata buruk terhadap dirinya sehingga timbul dakwaan kononnya dia seorang yang suka mengikis harta orang lain.
Sejak kebelakangan ini, nama Azeva menjadi perhatian pengguna media sosial susulan beberapa dakwaan dan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan pihak lain, sehingga isu berkenaan turut melibatkan ahli keluarganya.
Bukan sahaja Azeva, ibunya Datuk A. Ada, 56, turut memuat naik amaran keras tidak akan berdiam diri terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan menyakiti anak keduanya itu. Kenyataan itu menimbulkan persoalan netizen mengenai siapa sasaran sebenar amaran tersebut dan sama ada beliau bakal mengambil tindakan undang-undang susulan tuduhan ‘kaki kikis’ terhadap anaknya.
Penerbit sensasi itu turut berkongsi luahan hati seorang ibu dengan menasihati Azeva agar tidak membiarkan kata-kata manusia yang iri hati dan dengki ematahkan semangatnya, sebaliknya terus membina nama melalui usaha dan akhlak yang baik. – KOSMO! ONLINE
















