AARON dan Roy King berjaya melakar kejutan selepas menjuarai Kumamoto Masters menewaskan wakil tuan rumah. - AFP

Aaron-Roy King belum sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEREGU lelaki muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King enggan terlalu mendabik dada meskipun mencipta kejutan dengan menjuarai Kejohanan Badminton Masters Kumamoto di Jepun, kelmarin.

Sebaliknya, Aaron, 20, menyifatkan kejayaan meraih gelaran berprestij bertaraf Super 500 itu sebagai satu lagi pengalaman berharga dalam perjalanan mereka membina reputasi di pentas senior.

Bekas juara remaja dunia itu mengakui masih banyak aspek permainan yang perlu diperbaiki sebelum mereka mampu bersaing secara konsisten dengan pasangan terbaik dunia.

Baginya, setiap kejohanan yang disertai adalah peluang untuk menimba pengalaman dan meningkatkan persefahaman bersama Roy King.

“Perjalanan ini bukanlah mudah, tetapi setiap perlawanan memberi pengajaran yang sangat berharga. Masih banyak perkara yang perlu kami pelajari dan ruang untuk terus berkembang.

“Saya amat bersyukur dengan setiap pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan ini. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan,” kata Aaron.

Pada aksi final, Ahad lalu, Aaron-Roy King mempamerkan kebangkitan mengagumkan apabila menewaskan pasangan tuan rumah yang juga bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menerusi kemenangan 16-21, 21-13, 21-15 dalam tempoh 55 minit.

Sementara itu, Roy King mengakui tidak menyangka mereka mampu muncul juara selepas melihat undian kejohanan yang disifatkannya cukup mencabar.

“Sejujurnya, kami tidak menyangka mampu menjadi juara kerana melihat undian pada awalnya cukup sukar. Ketika set pertama, kami sudah mendahului dengan jurang mata yang agak besar, tetapi lawan berjaya mengejar sehingga sedikit sebanyak menjejaskan mental kami,” jelasnya.

Tanpa mahu terlalu dibuai kejayaan di Jepun, pasangan itu kini mengalihkan tumpuan kepada cabaran Terbuka Hong Kong yang berlangsung dari 17 hingga 22 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN