KEHEBATAN vokal sahaja belum cukup untuk menjamin keserasian terutama apabila dua penyanyi dengan karakter berbeza disatukan dalam sebuah karya.
Situasi itu menjadi cabaran buat Idayu Yaakob dan Adeep Nahar yang mempertaruhkan kemampuan menerusi single duet Bercanda Emosi, sekali gus menjadikan genre R&B sebagai gelanggang menguji keampuhan vokal mereka.
Selepas lebih dua dekad membina nama dalam dunia nyanyian, Idayu atau nama lengkapnya, Farah Idayu Yaakob, 41, kekal selektif dalam memilih karya, termasuk menentukan pasangan duetnya.
Bukan cerewet, sebaliknya jurulatih penata gaya vokal itu melihat mencari kesempurnaan sebagai cabaran, sekali gus apabila ditawarkan bergandingan dengan Adeep juga guru vokal, peluang berkenaan dianggap sebagai misi keramat.

Misi keramat
Paduan suara bagi lagu ciptaan komposer prolifik, Helen Yap bersama penulis lirik SlenFadzil berjudul Bercanda Emosi itu dikatakan merupakan kolaborasi dinanti-nantikan.
“Menariknya, ini kerjasama sulung kami yang bukan sekadar menemukan dua suara dengan kecenderungan sama terhadap muzik R&B, malah menguji sejauh mana kekuatan vokal masing-masing tanpa menenggelamkan identiti sendiri.
“Sudah tentu saya berasa gementar dan tercabar dengan Adeep. Apabila masuk ke studio untuk proses rakaman, memang ada perasaan takut dengan kemampuan vokalnya.
“Namun saya percaya kami boleh mendapatkan keserasian kerana masing-masing memang peminat tegar muzik R&B. Jadi, saya yakin ada titik pertemuan antara karakter vokal kami,” katanya ketika ditemui pada sesi pradengar lagu itu, baru-baru ini.
Penyanyi yang mendapat julukan Mariah Carey Malaysia itu berkata, keterujaannya menerima tawaran berkenaan sebenarnya bermula sebaik mendengar demo Bercanda Emosi.
Akuinya, karya tersebut mempunyai karakter muzik yang dekat dengan jiwanya, selain menawarkan sesuatu yang belum pernah diterokai menerusi tawaran nyanyian sebelum ini.
“Apabila Helen memberikan lirik dan memainkan demo lagu itu, saya terus bersetuju kerana merasakan karya berkenaan memang menepati gaya muzik saya.
“Saya terus cakap, okey, saya mahu menyanyikan lagu ini kerana sebelum ini tidak pernah mendapat tawaran untuk menyanyikan lagu dengan pendekatan sebegitu.
“Jadi, apabila peluang itu datang, saya rasa inilah masanya untuk mencuba sesuatu yang berbeza,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia Megastar 2017.
Pemilihan Adeep sebagai pasangan duet pula tercetus selepas pengurus penyanyi itu, Aszuad mencadangkan namanya kepada Helen berikutan kecenderungan terhadap genre R&B.
Adeep pula menganggap Bercanda Emosi sebagai antara karya paling sukar yang pernah disempurnakannya.
Bukan kerana tuntutan lirik atau penjiwaan emosi, malah perubahan melodi yang hampir berlaku pada setiap bait menjadikan lagu berkenaan cukup rumit untuk dikuasai.
Malah, naib juara Gema Gegar Vaganza 2018 itu mengakui sempat dilanda kebimbangan menjelang proses rakaman kerana enggan gagal menterjemahkan visi muzik Helen yang disifatkannya mempunyai nilai kreativiti tersendiri.
“Saya akui lagu ini sangat mencabar untuk dinyanyikan kerana dicipta Helen yang kita tahu mempunyai kreativiti luar biasa dalam bidang muzik.
“Sampai pada hari rakaman, saya beritahu Helen bahawa saya takut untuk merakamkan lagu ini kerana bimbang tidak dapat mencapai apa yang diinginkan penciptanya.
“Bagi saya, karya seseorang itu mempunyai nilai tinggi dan saya sangat menghormati hasil kerja beliau. Saya tidak mahu sekadar menyanyikannya tanpa memahami apa emosi di sebalik lagu,” ujarnya.

Dua tahun siapkan lagu
Adeep turut menyifatkan Bercanda Emosi bukan karya yang boleh dinyanyikan secara sambil lewa kerana susunan melodinya menuntut penyanyi memberikan perhatian terhadap setiap perincian.
“Rasanya lagu ini bukan dibuat untuk orang dengar begitu sahaja, sebaliknya seolah-olah memberi ruang sepenuhnya kepada Helen untuk mengetengahkan kreativiti dan kemahiran muziknya.
“Setiap bahagian mempunyai cabaran tersendiri. Sebab itu saya perlu benar-benar memahami kehendak lagu sebelum dapat memberikan persembahan yang diharapkan,” ungkapnya.
Kongsi penyanyi juga komposer dan penerbit itu lagi, pada fasa awal melakukan latihan beliau pernah terfikir mahu mengundur diri disebabkan gementar berdepan kemampuan Idayu.
“Ketika dapat lagu itu saya terus fikir, betulkah saya nak nyanyi lagu ini? Nasib baik masa menyanyi saya tengok tembok, tak tengok muka Idayu,” selorohnya.
Sementara itu, Helen pula mempunyai misi tersendiri menerusi penghasilan Bercanda Emosi apabila mahu menyuntik warna berbeza dalam industri muzik tempatan yang disifatkannya masih kurang meneroka karya duet berteraskan R&B.
Menurutnya, kecenderungan menghasilkan lagu pop dan balada dalam kalangan komposer serta penyanyi membuka ruang untuk mereka bereksperimen dengan pendekatan muzik yang lebih segar.
“Kami cuba mencari kelainan menerusi Bercanda Emosi kerana lagu duet berkonsepkan R&B masih belum banyak dihasilkan di Malaysia.
“Saya berharap lagu ini dapat memberikan warna baharu kepada industri muzik tempatan dan diterima oleh pendengar yang menggemari genre berkenaan,” katanya.
Helen yang pernah bekerjasama dengan Slen Fadzil menerusi Kembalikan Indah nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, selain Sinar Mata Hati dan Gelita dendangan Ernie Zakri, turut berharap karya terbaharu itu mempunyai jangkauan pendengar yang lebih luas.
Malah, Bercanda Emosi juga dirancang sebagai lagu yang sesuai diperdengarkan dalam majlis resepsi perkahwinan, sekali gus membuktikan muzik R&B tidak semestinya terhad kepada kelompok pendengar tertentu.
Diterbitkan Magic Nova Productions, SlenFadzil selaku penulis lirik mendedahkan keseluruhan poses penerbitan mengambil masa hampir dua tahun sejak 2024 termasuk pembikinan video muzik arahan Revo Marty.
Kata Slen Fadzil menghasilkan keseluruhan lirik lagu tersebut ketika berada di Paris bagi menyaksikan temasya Sukan Olimpik 2024.
“Emosi dalam lagu ini cukup dalam, malah lebih istimewa tajuknya mempunyai nilai sentimental kerana berkaitan dengan seorang diva kesayangan ramai, Anita Sarawak.
“Beliau terkenal dengan seleksi dan dendangan hits termasuk Bercanda di Pasiran Pantai duet bersama Allahyarham Datuk Sudirman. Bercanda sangat sinonim dengan beliau, cuma bezanya ‘canda’ dalam karya Helen melankolik,” ungkapnya.















