KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air di Sungai Luit berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak di Kuala Kubu Bharu kini diteruskan dalam skala lebih kecil bermula hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, memasuki hari kelapan operasi hari ini, tujuh daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus telah ditemukan manakala seorang lagi yang masih hilang dikenal pasti sebagai lelaki warga India.
“Pihak JBPM masih menunggu keputusan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor berhubung penutupan Pos Kawalan Tempat Kejadian di Tapak Berkelah Sungai Pertak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi dilaksanakan, pasukan penyelamat berdepan pelbagai cabaran di lapangan, termasuk merekodkan lima kejadian kepala air susulan sejak SAR digerakkan pada 9 November lepas.
“Apabila berlaku hujan lebat dan kepala air berulang, anggota tidak dapat menyusuri sungai untuk menjalankan pencarian dan terpaksa menangguhkan operasi demi faktor keselamatan sehingga keadaan reda.
“Keadaan itu memberi kesan kepada operasi kerana pasukan penyelamat tidak dapat melakukan pemeriksaan di kawasan sungai ketika kepala air berlaku,” katanya.
Ashrul berkata, operasi hari ini dimulakan seawal 8 pagi dengan tumpuan kepada Sektor C dan D, iaitu kawasan pertemuan antara Sungai Luit dan Empangan Sungai Selangor, namun tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan setakat ini.
Beliau berkata, operasi hari ini melibatkan kekuatan 26 anggota merangkumi JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela dan agensi berkaitan.
“Pencarian menggunakan kaedah di permukaan air serta teknik pusaran dengan bantuan dua bot milik JBPM serta sebuah bot polis,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang pada 9 November lepas, lapan lelaki dihanyutkan arus deras susulan tragedi kepala air di Sungai Luit, dengan tujuh daripadanya berjaya ditemukan manakala seorang lagi masih belum dijumpai. – BERNAMA














