Dari kiri: Che Puan Juhaida, Tunku Faris dan Pengarah MARA Negeri Selangor, Mohd. Halmishahril Ahmad Jamir bergambar sempena penyertaan Pisango di China Import & Export Fair (CIEF) 2026 pada 31 Oktober – 4 November 2026.

Dari desa ke dunia: MARA pacu produk halal tempatan tembusi pasaran antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Produk makanan halal tempatan bukan lagi sekadar memenuhi permintaan pasaran domestik, sebaliknya berpotensi menjadi jenama bertaraf antarabangsa menerusi inovasi, peningkatan kualiti serta sokongan akses ke pasaran global.

Perkembangan ini membuka peluang kepada usahawan luar bandar mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi desa melalui penghasilan produk bernilai tambah dan berdaya saing.

Menyedari potensi berkenaan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuh usaha membangunkan usahawan tempatan menerusi inisiatif Gate to Global (GTG) serta penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa bagi memperkenalkan produk halal Malaysia kepada pembeli luar negara.

Antara platform dimanfaatkan ialah FOODEX Japan 2026 di Tokyo pada Mac lalu, yang disertai 10 usahawan dengan membawa 80 unit simpanan stok (SKU) produk tempatan merangkumi pelbagai kategori seperti snek, bar protein, makanan sejuk beku, serbuk minuman, kordial, lada hitam, kicap dan sos.

Penyertaan itu bukan sahaja membuka ruang memperkenalkan produk kepada pasaran antarabangsa, malah menyediakan peluang kepada usahawan menjalin rangkaian perdagangan, membentuk padanan perniagaan dan meneroka potensi eksport.

Antara usahawan yang memanfaatkan sokongan pembangunan MARA ialah Pisango Sdn. Bhd., syarikat Bumiputera yang membangunkan produk hiliran berasaskan pisang tempatan dengan aspirasi membawa jenamanya ke pasaran global.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Faris Tunku Khalil berkata, Pisango ditubuhkan pada 2022 bersama isterinya, Che Puan Juhaida Muda, bermula dengan hasrat untuk membangunkan industri makanan berasaskan pisang tempatan menjadi produk komersial yang mempunyai nilai tambah.

Menurutnya, idea itu tercetus daripada potensi besar buah pisang sebagai hasil pertanian tempatan yang masih mempunyai ruang luas untuk dikembangkan menerusi penghasilan produk makanan lebih moden dan inovatif.

“Kami melihat bahawa pisang bukan sekadar makanan tradisional seperti pisang goreng. Ia boleh dikembangkan menjadi pelbagai produk inovatif seperti kerepek pisang, donat pisang, cekodok pisang dan popia pisang,” katanya.

Para pengunjung mencuba produk Pisango di CIEF 2026 yang diadakan di Guangzhou.

Beroperasi di Meru, Klang, Pisango berkembang daripada usaha kecil membangunkan makanan berasaskan pisang kepada sebuah syarikat pemprosesan makanan yang menghasilkan produk sejuk beku dan makanan ringan untuk pasaran tempatan serta antarabangsa.

Bagaimanapun, perjalanan membangunkan perniagaan itu tidak lekang dengan cabaran, khususnya dalam mendapatkan pensijilan halal, memenuhi standard keselamatan makanan, membangunkan pembungkusan bersesuaian serta meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Tunku Faris berkata, penghasilan makanan berkualiti bukan hanya bergantung kepada rasa, sebaliknya memerlukan konsistensi produk, jangka hayat bersesuaian dan pematuhan standard keselamatan makanan bagi memenuhi kehendak pasaran.

“Pada peringkat awal, perkara-perkara ini memerlukan modal, kepakaran teknikal dan proses pembangunan yang berterusan. Kami melihat cabaran tersebut sebagai satu proses pembelajaran untuk membina sebuah syarikat makanan yang lebih tersusun dan berdaya saing,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, sokongan MARA, khususnya menerusi program GTG, banyak membantu Pisango mendapatkan pendedahan mengenai persediaan memasuki pasaran eksport, penjenamaan dan strategi pemasaran antarabangsa.

“Program seperti Gate to Global memberikan peluang kepada usahawan untuk memahami keperluan pasaran eksport, penjenamaan, strategi pemasaran antarabangsa dan persediaan untuk bersaing di peringkat global.

“Bagi saya, bantuan kepada usahawan bukan sekadar dari segi pembiayaan. Akses kepada ilmu, jaringan perniagaan, bimbingan dan peluang memperkenalkan produk kepada pembeli antarabangsa juga sangat penting,” ujarnya.

Hasil usaha pengembangan perniagaan, produk Pisango berjaya menembusi rangkaian peruncitan tempatan termasuk Mydin, Hero Market, Rosyam Mart, Noko, Sabasun, Sunshine dan Billion, selain dipasarkan menerusi platform e-dagang serta program promosi perdagangan.

Malah, syarikat itu turut aktif meneroka peluang eksport melalui penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Japan International Food & Beverage Expo (JFEX) Tokyo, Fine Food Australia dan Salon International de l’Alimentation (SIAL), selain beberapa pameran di pasaran Asia, Eropah serta Asia Barat.

Penyertaan Pisango di SIAL, Paris Oktober lalu.

Dalam memperluas perniagaan, Pisango turut membangunkan model rakan niaga dan pelesenan yang membolehkan lebih ramai usahawan tempatan menggunakan jenama serta ekosistem produknya melalui konsep kiosk dan perniagaan berlesen.

Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan memperluas pasaran syarikat, malah membuka peluang pendapatan dan keusahawanan kepada masyarakat menerusi sokongan produk, sistem operasi serta pembangunan perniagaan.

“Dalam jangka panjang, kami mempunyai aspirasi untuk membawa Pisango ke tahap korporat yang lebih tinggi, termasuk sasaran penyenaraian di Bursa Malaysia apabila tiba masanya dan memenuhi segala keperluan yang ditetapkan.

“Saya percaya Malaysia mempunyai banyak produk makanan tempatan yang boleh diketengahkan ke peringkat dunia.

“Apa yang penting ialah keberanian untuk bermula, kesungguhan untuk membangunkan produk dan keupayaan untuk membina sistem perniagaan yang mampan,” tambah Tunku Faris.

Inisiatif seperti GTG dilihat penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan halal tempatan, khususnya dengan membantu pengeluar kecil meningkatkan keterlihatan jenama serta meluaskan rangkaian pengedaran.

Usaha ini selari dengan aspirasi Ekonomi Desa Nasional (EDN) untuk meningkatkan daya saing dan pendapatan usahawan luar bandar, sekali gus membuktikan produk halal tempatan mempunyai potensi besar untuk berkembang daripada perusahaan desa kepada jenama yang dikenali di pasaran dunia.

Produk halal tempatan bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran domestik, malah berpotensi menjadi jenama global melalui inovasi, pensijilan, penjenamaan dan akses pasaran antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN