NILAI – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Melati, Ulu Beranang, Lenggeng, sejak 18 November lalu.
Remaja berkenaan, Chen Youki, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira pukul 4 petang untuk bermain bola keranjang bersama rakan-rakannya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 9.46 malam.
Menurutnya, ketika keluar dari rumah, remaja berkenaan memakai kemeja-T putih dan seluar pendek.
“Sehingga laporan polis dibuat, remaja berkenaan masih belum pulang ke rumah.
“Ahli keluarganya turut cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun panggilan tidak dijawab,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pihak polis sedang menjalankan usaha mengesan remaja terbabit.
Orang ramai yang melihat remaja berkenaan atau mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.- KOSMO! ONLINE














