BACHOK – Seorang wanita yang menghidap penyakit jantung tetap cekal membesarkan dua anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Wakaf Aik, Tawang di sini.
Wan Noor Maziah Wan Abdullah, 49, berkata, anak pertamanya, Hafizul Rahman Mazlan, 21, menghidap penyakit jarang ditemui iaitu sindrom Cri Du Chat atau sindrom tangisan kucing, manakala adiknya, Nur Qaseh Ummairah, 13, mengalami masalah genetik akibat keabnormalan kromosom sejak lahir.
Menurutnya, sindrom tangisan kucing yang dialami anak sulungnya merupakan kes terpencil yang berlaku kepada seorang daripada 20,000 hingga 50,000 kelahiran bayi di dunia.
Katanya, dia dan suami, Mazlan Ab. Rahman, 60, perlu menanggung kos perbelanjaan yang tinggi bagi menguruskan keperluan harian kedua-dua anak mereka.
“Kadangkala saya kehabisan wang kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja di kedai pemprosesan ayam dengan gaji sebanyak RM40 sehari.
“Sekarang saya tidak mampu membeli lampin pakai buang, bijirin dan susu kerana penggunaannya semakin bertambah. Setiap bulan saya perlu membelanjakan lebih RM2,000,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (i-Sejahtera) Malaysia, Datuk Mohammad Hamizan Amzah hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai bagi meringankan beban keluarga itu.
Wan Noor Maziah berkata, dia terpaksa berhutang dengan adik-beradik atau ahli keluarga terdekat apabila kehabisan wang untuk membeli keperluan anak-anaknya.
“Walaupun berdepan masalah kesihatan, saya perlu menguruskan anak secara bersendirian apabila suami bekerja.
“Boleh dikatakan saya menjaga mereka 24 jam sehari.
“Saya juga perlu memberi perhatian lebih kepada Nur Qaseh Ummairah kerana dia agak agresif walaupun pergerakannya hanya mampu mengesot,” ujarnya.
Selain masalah jantung, Wan Noor Maziah turut mengalami masalah slip disc akibat kerap mengangkat kedua-dua anaknya yang masing-masing seberat 20 dan 50 kilogram setiap hari.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Noor Maziah di talian 016-4895948 atau menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 0300 3410 0013 4905. – KOSMO! ONLINE














