PELANTIKAN Mauricio Pochettino sebagai pengendali baharu Manchester United membuka lembaran baharu buat kelab gergasi England itu yang kini semakin jauh daripada reputasi sebagai antara kuasa besar bola sepak Eropah.
Tanpa mengira apa juga keputusan pertemuan menentang Liverpool awal pagi tadi, pengendali dari Argentina itu terpaksa memikul tugas cukup berat susulan prestasi hambar The Red Devils pada awal musim ini.
Melihat kepada rekod pengurusannya, Pochettino sebenarnya memiliki pengalaman dan reputasi yang cukup untuk memikul cabaran berkenaan.
Beliau pernah membina Tottenham sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), selain membawa kelab London itu ke final Liga Juara-Juara pada 2019.
Malah, sentuhan pengendali kelahiran Argentina itu turut membantu Paris Saint-Germain (PSG) menjulang kejuaraan Ligue 1 Perancis dan beberapa trofi domestik.
Namun, cabaran bersama United pastinya berbeza kerana beliau bukan sekadar perlu membentuk sebuah pasukan kompetitif, sebaliknya perlu memulihkan identiti sebuah kelab yang sudah lama bergelut untuk kembali ke puncak.
United berdepan permulaan musim paling buruk dalam sejarah EPL apabila hanya meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan sehingga terjerumus ke zon penyingkiran.
Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian Pochettino adalah tahap kecergasan pemain ketika beliau sinonim dengan corak permainan berintensiti tinggi, tekanan agresif serta pergerakan pantas ketika menyerang.
Bekas pemain Tottenham, Toby Alderweireld sebelum ini turut menggambarkan pendekatan Pochettino sebagai seorang pengurus yang sangat menitikberatkan kecergasan, disiplin dan kepentingan pasukan.
Justeru, pemain United dijangka berdepan perubahan ketara dari segi corak latihan dan tuntutan taktikal.
Jika berjaya menerapkan falsafah tersebut, United berpotensi kembali menjadi pasukan yang lebih agresif dan sukar dikawal lawan.
Bagaimanapun, kejayaan Pochettino tidak hanya bergantung kepada taktikal shajkerana perlu menguruskan bilik persalinan yang dipenuhi pemain berprofil tinggi.
Pendekatan tegas Pochettino mungkin menjadi kelebihan, namun berpotensi mencetuskan ketegangan sekiranya terdapat pemain yang gagal melunaskan tuntutan disiplin.
Bagaimanapun, pengalaman mengendalikan Tottenham, PSG dan Chelsea pastinya memberikan gambaran mengenai cara terbaik menguruskan pemain berstatus bintang.
Tekanan di Old Trafford pastinya tidak akan memberikan banyak ruang untuk Pochettino melakukan kesilapan, selain memerlukan sokongan penuh pihak pengurusan khususnya dalam urusan perpindahan pemain.
Penganalisis dan pemerhati berpendapat, salah satu faktor kegagalan United adalah berpunca daripada kelemahan pasukan pencari bakat dan urusan ‘negosiasi’ yang sering gagal mendapatkan pemain yang diinginkan pengurus.
Selepas lebih 13 tahun pemergian Sir Alex Ferguson, pemilik United, Omar Berrarda dan Jason Wilcox seharusnya sudah memahami cara untuk mengelak satu lagi kegagalan.
Apa yang pasti, Pochettino bukan sahaja perlu menyelamatkan musim ini, malah perlu membuktikan bahawa dirinya merupakan individu tepat untuk membawa kelab itu kembali bersaing merebut kejuaraan utama. -KOSMO! ONLINE














