MIRI – Polis menahan tiga remaja selepas Perodua Kancil dinaiki mereka melanggar anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Piasau, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, penguat kuasa sedang menjalankan sekatan jalan raya sebelum kereta terbabit dipercayai dipandu laju dan melawan arus menuju ke arah Jalan Piasau Camp.
Pemandu kenderaan itu dipercayai gagal mematuhi arahan berhenti sebelum melanggar anggota JPJ yang sedang membantu tindakan penguatkuasaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam pada mata kanan serta tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Miri.
“Keadaan anggota terbabit dilaporkan stabil,” dalam satu kenyataan.
Farhan berkata, polis berjaya mengesan dan menahan kenderaan terbabit menerusi sekatan di Jalan Piasau Camp.
Katanya, pemandu berusia 17 tahun itu ditahan bersama dua penumpang, masing-masing lelaki berusia 19 tahun dan perempuan berusia 18 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu dan dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
“Polis turut merampas kereta Perodua Kancil yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.
Saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Dalam perkembangan sama, mahkamah membenarkan perintah reman empat hari terhadap ketiga-tiga suspek sehingga 26 November ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.














