Mazlan (kanak) ketika dibawa ke mahkamah hari ini.

Nelayan tak mengaku hina hadith

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Manjung di sini hari ini atas pertuduhan menghina hadith dan menghuraikan agama yang berlawanan dengan hukum syarak, dua tahun lalu.

Difahamkan, tertuduh, Mazlan Abd. Shukor, 59, merupakan seorang daripada pemimpin dan tenaga pengajar ajaran sesat Millah Abraham di Manjung.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Ridzuan Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menghina hadith di sebuah rumah di Taman Pantai Makmur, Pantai Remis antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari, pada 26 April 2024.

Mazlan turut didakwa menghuraikan agama yang berlawanan dengan hukum syarak kepada dua anak perempuannya yang berusia 20 dan 23 tahun di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 9 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pendakwa Syarie, Amir Sabri Zulkipli menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan, dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh disifatkan serius kerana melibatkan kepentingan agama Islam.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan minimum kerana masih menanggung dua anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN