Najib dibawa menaiki kenderaan SUV Proton X70 ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah da 10 November lalu. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Keputusan Agong berhubung tahanan rumah Najib tak boleh dicabar di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) berpendirian bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah.

AGC dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya telah membangkitkan bantahan terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar perintah tahanan di rumah itu.

Bantahan itu dibangkitkan ketika pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 12 Nov lepas atas alasan keputusan dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah.

AGC memaklumkan hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan itu akan didengar pada 17 Mac 2027.

“Hujahan pihak-pihak akan didengar pada 17 Mac 2027. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” menurut kenyataan itu.

Badan Peguam Malaysia sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tahanan di rumah terhadap Najib yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64.

Pada 10 Nov lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Pada 6 Nov lepas, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN