KUALA LUMPUR – Sebanyak 563,953 tindakan penguatkuasaan trafik direkodkan di ibu negara dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat berbanding 444,594 tindakan pada tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan notis dan saman, tangkapan serta sitaan.
Menurutnya, penguatkuasaan dilakukan menerusi lima operasi utama iaitu Op Pematuhan, Op Perdagangan, Op Khas Bersepadu, Op Motosikal dan Op Mabuk (EBA).
Katanya, sebanyak 3,702 operasi dilaksanakan dalam tempoh berkenaan dengan Op Pematuhan mencatatkan jumlah pelaksanaan tertinggi, diikuti Op Khas Bersepadu dan Op Motosikal.
“Statistik ini jelas menunjukkan bahawa penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten, menyeluruh dan bersasar.
“Walau bagaimanapun, kejayaan sesuatu operasi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah saman atau tindakan yang dikeluarkan, tetapi juga melalui perubahan sikap pengguna jalan raya serta peningkatan tahap pematuhan terhadap undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S. Lee, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, sebanyak 990 tangkapan turut direkodkan sehingga Oktober tahun ini membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 45A, Seksyen 42 dan Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan tindakan penguatkuasaan dan siasatan bukan sahaja tertumpu kepada kesalahan lalu lintas biasa, malah turut melibatkan kesalahan serius yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata sebanyak 67,262 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini melibatkan 197 kes kematian, 63 kes kecederaan parah, 1,842 kes kecederaan ringan dan 65,160 kes kerosakan kenderaan.
Dalam pada itu, Fadil turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah susulan peningkatan kes kemalangan maut berkaitan mabuk daripada tiga kes sepanjang tahun lalu kepada empat kes sehingga Oktober tahun ini.
“Walaupun jumlahnya kelihatan kecil berbanding keseluruhan kemalangan, setiap kejadian seumpama ini amat serius kerana melibatkan risiko kehilangan nyawa akibat kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab pemandu.
“Oleh itu, operasi membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah hendaklah terus dipergiatkan dengan pendekatan yang tegas, konsisten dan tanpa kompromi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














