SHAH ALAM – Kes saman antara Datuk Dr. Mashitah Ibrahim terhadap Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berhubung kenyataan fitnah penglibatannya dalam jenayah pemerdagangan manusia akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi di sini.
Ia berikutan apabila Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali, 29, dan pertubuhan itu memohon maaf terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu semalam.
Hishamuddin, Azitul Syafiq dam MHO selaku defendan pertama hingga ketiga turut bersetuju membayar kos sebanyak RM100,000 kepada Dr. Mashitah serta menarik balik tuntutan balas terhadapnya tanpa kos.
Berikutan persetujuan kedua-dua pihak, penghakiman persetujuan kemudian direkodkan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Anita Harun.
Sementara itu berdasarkan kenyataan oleh ketiga-tiga defendan, kesemuanya mengakui membuat kekhilafan apabila merujuk beberapa penerbitan oleh Justice For Myanmar, Irrawaddy Post, Scoop.com serta laporan United States Institute of Peace yang mengaitkan Mashitah dan suaminya, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar dengan isu pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.
Menerusi penghakiman berkenaan, ketiga-tiga defendan mengakui membuat kekhilafan apabila merujuk beberapa penerbitan yang mengaitkan Dr. Mashitah dan suaminya, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar dengan isu pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.
Selain memohon maaf tanpa syarat dan membayar kos berkenaan, ketiga-tiga defendan turut berakujanji tidak akan mengulangi, menerbitkan atau menyebarkan sebarang kenyataan dan tuduhan berkaitan plaintif di mana-mana medium.
Dr. Mashitah dan ketiga-tiga defendan turut bersetuju bahawa penghakiman persetujuan itu adalah penyelesaian penuh dan muktamad terhadap tuntutan saman serta tuntutan balas dalam kes berkenaan.
Semasa prosiding, Dr. Mashitah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader bersama Meor Hafiz Salehan dan Fatin Izyan Mazlan, manakala ketiga-tiga defendan diwakili peguam Nur Fazrin Ahmad bersama Muhammad Falaq Adnan.
Pada 13 September 2024, Kosmo! melaporkan Dr. Mashitah memfailkan saman fitnah terhadap MHO dan dua wakilnya berhubung kenyataan berbaur fitnah mengenai penglibatannya dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Dr. Mashitah, memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi menerusi Tetuan Akberdin & Co. di sini pada 9 September 2024 dengan menamakan Hishamuddin, Azirul Syafiq Sazali dan pertubuhan itu masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia itu mendakwa Hishamuddin telah memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan atau menyebarkan satu video kenyataan media yang dibuat ketiga-tiga defendan pada 28 Ogos lalu di akaun Facebook “Hishamuddin Hashim”.
Plaintif mendakwa klip kenyataan media itu beserta dengan kapsyen “Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar” melalui satu posting Facebook milik MHO di bawah akaun yang dikenali sebagai “Hishamuddin Hashim”.
Dakwa plaintif pada tarikh sama, Azirul Syafiq juga memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan klip video sama melalui satu posting Facebook miliknya.
Beliau berkata, pada keesokannya Hishamuddin memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan suntingan klip video bertarikh itu dengan kapsyen “Sidang Media berkenaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan syarikat Dongmei Group yang merupakan antara sindiket pemerdagangan manusia & scam paling besar di Myawaddy Myanmar.
Justeru plaintif menuntut, injunksi mandatori terhadap kesemua defendan memadam semua hantaran dalam masa tujuh (7) hari daripada tarikh penghakiman, selaras dengan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 53 Akta Relif Spesifik 1950.
Selain itu plaintif turut memohon agar wakil-wakil kesemua defendan atau sesiapa sahaja, daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan semula, menyiarkan semula atau berkongsi semula hantaran tersebut.
Pada 28 Ogos tahun sama, MHO meminta SPRM menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di luar negara yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut. – KOSMO! ONLINE














