Gambar hiasan

Baki 880 calon simpanan guru bakal dilantik sebelum 14 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 880 calon simpanan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bagi pengambilan 2025 akan ditawarkan pelantikan sebelum tempoh sah tamat pada 14 Disember ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, sehingga kini seramai 3,537 daripada 4,417 calon simpanan pengambilan 2025 telah ditawarkan surat pelantikan.

“KPM dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) telah mengadakan perbincangan bagi merungkai isu ini dan seterusnya telah bersetuju agar baki 880 orang calon simpanan PPP ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat tempoh berkenaan,” jelas kenyataan itu hari ini.

Menurut KPM, urusan penempatan calon yang berjaya dilantik akan dibuat selepas proses pelantikan selesai dengan mengambil kira kekosongan tempat serta kesesuaian opsyen masing-masing.

“Keputusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan bakat dan minat mereka yang ingin mendidik anak-anak kita dimanfaatkan sepenuhnya.

“KPM merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan semua pihak terhadap isu pelantikan calon simpanan PPP,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook beliau telah meminta pengurusan tertinggi KPM untuk mengambil tindakan segera dan menyelaras urusan bersama SPP berhubung baki calon simpanan SPP.

Kata Fadhlina, beliau sebelum ini mendengar keresahan 880 calon simpanan PPP berkenaan yang masih menantikan kepastian mengenai pelantikan mereka menjelang tamat tempoh pada 14 Disember 2026.

“Saya memahami bahawa penantian ini bukan perkara kecil, apatah lagi apabila ia melibatkan masa depan dan perancangan kehidupan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN