PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) hanya mengemukakan satu nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, warkah berhubung cadangan itu bertarikh 16 November lalu dan keputusan memilih calon baharu diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara Tuanku.
Menurutnya, sudah menjadi kelaziman bagi parti, khususnya BN, untuk mengutus warkah kepada istana bagi mencadangkan nama Menteri Besar baharu untuk mendapat perkenan Tuanku.
“Dan terserahlah kepada Tuanku untuk memberikan perkenan terhadap nama yang telah saya kemukakan. Dan jika nama itu diterima, hanya Kebawah Duli Tuanku dan pihak istana sahaja yang boleh mengumumkannya.
“Saya, selaku ketua parti, sebagai Pengerusi Barisan Nasional, menyerahkan sepenuhnya soal budi bicara dan perkenan kepada Kebawah Duli Tuanku,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Festival Of Idea (FOI) Putrajaya 2026 di sini hari ini.
Katanya, penyerahan warkah itu dibuat mengikut adat dan tatacara selepas beliau menerima surat peletakan jawatan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim semalam.
Ditanya apa alasan perletakan jawatan oleh Ismail, Ahmad Zahid berkata, peletakan jawatan itu dibuat sendiri oleh Ismail dan bukannya atas arahan UMNO.
“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin,” katanya.
Ditanya sama ada langkah itu mampu menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan secara baik.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN akan memberi keutamaan kepada proses mendapatkan perkenan Tuanku terhadap calon Menteri Besar baharu sebelum membincangkan perkara lain.
“Kita selesaikan untuk Tuanku berkenan memilih Menteri Besar baharu dahulu. Baharu soal-soal lain kita selesaikan,” katanya.
Semalam, Ismail sudah mengutuskan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.-KOSMO! ONLINE














