MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin mendahului saingan tidak rasmi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Berdasarkan paparan keputusan tidak rasmi laman sesawang myundi.com.my setakat pukul 8 malam ini, Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka memperoleh sebanyak 13,558 undi.
Beliau jauh meninggalkan pencabar terdekatnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mejar (B) Abdullah Bin Mahadi yang meraih 1,522 undi.
Sementara itu, seorang lagi calon daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama), Ridzuan Rahman memperoleh sebanyak 896 undi.
Terdahulu, penyandang kerusi DUN Paya Rumput itu bertukar kawasan apabila dicalonkan oleh kepimpinan parti untuk bertanding di DUN Sungai Udang pada PRN kali ini. – KOSMO! ONLINE
















