SEREMBAN – Seorang pereka grafik kilang kotak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan menyimpan bahan pornografi remaja perempuan berusia 17 tahun, pada minggu lalu.
Tertuduh, Hisbani Hairizal Shamsul Bahari, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang melibatkan kontak fizikal bagi maksud seksual tanpa persetubuhan terhadap mangsa kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun satu bulan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati dalam milikannya suatu bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk gambar mangsa dan bahan pornografi dalam bentuk video mangsa yang sama iaitu kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun satu bulan.
Sehubungan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 AKSTKK 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 11 malam di kawasan Pinggiran Bayu, Mantin di Nilai pada 17 November lalu. – KOSMO! ONLINE














