IPOH – Seorang individu didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini baru-baru ini atas kesalahan ubat kurus yang tidak berdaftar dikenali Retatrutide atau Reta.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, pertuduhan dijalankan mengikut subperaturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Tertuduh mengaku bersalah pada 10 November lalu dan dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan (sekiranya tidak membayar denda),” katanya di sini hari ini.
Tertuduh sudah tiga kali dijatuhi hukuman atas kesalahan sama pada 2018, 2024 dan tahun lalu.
“Pemilikan produk tidak berdaftar seperti Retatrutide merupakan satu kesalahan di bawah Perenggan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Bagi kesalahan pertama, pesalah yang disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi kesalahan berikutnya, hukuman yang diperuntukkan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Jelas JKN, sehingga kini, tiada produk Retatrutide yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan di negara ini.
“Retatrutide adalah ubat penyiasatan yang masih menjalani kajian klinikal fasa 3 dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa regulatori di dunia.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli, memiliki atau menggunakan produk berkenaan yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














