Perkongsian Anom di Threads hari ini.

AJK PIBG, guru bergegas ambil calon SPM alami ‘anxiety’ ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keprihatinan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama barisan pendidik yang sanggup turun padang menjemput seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengalami masalah kebimbangan melampau (anxiety) menyentuh hati ramai pengguna media sosial.

Menerusi perkongsian pengguna Threads @anom.zaheah, dia bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta beberapa guru bergegas mengambil pelajar lelaki itu untuk dibawa ke sekolah bagi menduduki ujian mendengar pada hari pertama peperiksaan SPM.

“‘Onz’ tak ‘onz’ AJK PIBG bawa PK HEM dan cikgu-cikgu pi angkut (bawa) budak ini datang sekolah untuk kertas SPM.

“Dia mengalami anxiety (kebimbangan melampau). Dia nampak aku datang (lalu bertanya), ‘umi datang ambil saya?’ ‘ya umi datang nak ambil awak, bawa cikgu-cikgu sekali. Kita orang sayang awak, jom kita pergi sekolah’. Makin meleleh (menangis) dia,” kongsinya.

Wanita itu berkata, dia turut menasihati pelajar berkenaan supaya menenangkan fikiran dan tidak terlalu memikirkan perkara negatif memandangkan ujian mendengar merupakan komponen wajib yang perlu diduduki calon SPM.

“Saya cakap buang segala apa yang dia rasa dan fikir, jangan overthinking (terlebih fikir). Ujian mendengar wajib ambil, kalau tidak semua gagal. Tiada guna 11 tahun dia duduk di sekolah kalau tidak ambil SPM,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan pantas dan empati pihak sekolah serta PIBG yang disifatkan sangat cakna terhadap kesihatan mental pelajar.

“Terharunya, terima kasih sebab tidak memperlekehkan masalah anxiety (kebimbangan melampau ) dia dan tidak menghakimi, malah membantu. Terima kasih sebab berusaha untuk anak murid dan berfikir jauh demi masa depannya,” komen @drlalalove.

Turut berkongsi detik sama, seorang lagi pengguna @sitibad memaklumkan dia menyaksikan sendiri keberangkatan wanita berkenaan bersama guru-guru menaiki kereta untuk menjemput pelajar terbabit.

“Saya ada di sana, anak saya juga bersekolah di tempat sama. Saya nampak sendiri ‘umi’ dan cikgu-cikgu naik kereta untuk ambil anak ini. Alhamdulillah dan syabas kepada semua guru yang terlibat,” katanya.

Perkongsian tersebut telah meraih lebih 84,400 tontonan di platform berkenaan setakat petang ini.

Terdahulu, seramai 420,879 calon SPM di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara telah memulakan peperiksaan bertulis hari ini dengan Ujian Mendengar Bahasa Melayu yang berlangsung pada pukul 9 pagi tadi.

Peperiksaan bertulis dijadualkan berlangsung sehingga 17 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN