KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki susulan insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan individu di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2 pagi pada 22 November lalu itu tular di media sosial Threads menerusi rakaman video yang memaparkan pergaduhan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 21 dan 34 tahun ditahan di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi pada hari sama.
Menurutnya, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai melibatkan dua kumpulan individu yang bertindak secara berkumpulan sehingga mencetuskan kekecohan di lokasi kejadian.
“Semakan mendapati suspek berusia 34 tahun mempunyai lapan rekod jenayah lampau, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta penglibatan individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Firdaus berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius sebarang perlakuan jenayah yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular tersebut,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. – KOSMO! ONLINE














