GERIK – Empat ekor rusa sambar dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum di sini kelmarin sebagai inisiatif strategik bagi memulihkan serta memperkaya populasi hidupan mangsa yang menjadi sumber makanan utama kepada kelangsungan hidup Harimau Malaya.
Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, program berimpak tinggi itu melibatkan sinergi rentas agensi iaitu Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Sejak tahun 2021, usaha pemuliharaan secara konsisten ini telah merekodkan pelepasan sebanyak 30 ekor rusa sambar, dua ekor seladang dan 17 ekor babi hutan ke Taman Negeri Royal Belum bagi menjamin keseimbangan rantaian makanan di habitat semula jadi.
“Usaha ini penting bagi memastikan ketersediaan sumber makanan yang mencukupi untuk menyokong kelangsungan hidup Harimau Malaya serta mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan,” katanya di sini.
Katanya, Taman Negeri Royal Belum terus mengekalkan rekod cemerlang sifar jerat selama 39 bulan berturut-turutmembuktikan tahap kawalan, rondaan dan penguatkuasaan yang berkesan di lapangan.
Jelasnya, kerajaan negeri akan terus komited memelihara khazanah alam semula jadi negeri melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, rakan strategik dan komuniti setempat.
Keluasan Taman Negeri Royal Belum yang diwartakan ialah 117,500 hektar yang merupakan habitat penting kepada 139 spesies mamalia termasuk Harimau Malaya, 336 spesies burung, 103 spesies reptilia, 54 spesies amfibia dan 63 spesies ikan air tawar.- KOSMO! ONLINE














