Mohd. Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa AKPS di Zoo Negara, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

Tangkap berapa ramai pun, saya sedia beri kerjasama – Mohd. Shuhaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Tangkap berapa ramai pun yang mahu ditangkap. Saya rasa sudah cukup, rakyat Malaysia juga sudah muak dengan kegiatan seperti ini.”

Demikian ketegasan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berhubung penahanan seorang pegawai agensi itu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan’counter setting’.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membongkar rangkaian lebih besar susulan penahanan pegawai terbabit.

“Saya lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily mendedahkan, penahanan pegawai terbabit dilakukan hasil keberanian seorang pegawai wanita AKPS selepas melihat pegawai atasan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, tindakan pegawai wanita berbangsa India itu wajar diberikan penghargaan kerana sanggup tampil menentang salah laku dalam kalangan anggota agensi berkenaan.

“Saya amat menghormati beliau dan akan menemuinya dalam masa terdekat untuk mengucapkan jutaan terima kasih.

“Hanya memerlukan seorang individu untuk mengubah apa yang sedang berlaku di lapangan. Keberanian seperti ini adalah titik permulaan kepada perubahan yang ingin kita bawa,” ujarnya.

Tegas beliau, pihaknya akan terus memberikan sokongan terhadap pegawai wanita berkenaan selain berharap lebih ramai anggota AKPS mempunyai keberanian sama dalam membanteras salah laku.

“Beliau berani melawan arus dan saya akan sentiasa berada di belakangnya. Itu janji saya kepadanya. Ini adalah penangkapan anggota kita sendiri oleh anggota kita sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai modus operandi kegiatan terbabit termasuk kemungkinan wujudnya kegiatan ‘counter setting’ kerana siasatan masih dijalankan.

Terdahulu, seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki membawa masuk warga asing tanpa dokumen perjalanan sah menerusi kaunter Imigresen di KLIA Terminal 2, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi dilaporkan berkata, kes itu dikesan AKPS sebelum laporan polis dibuat pada 17 November lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) terhadap penjawat awam berusia 40an itu.

Wanita warga asing berusia 38 tahun terbabit ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN