KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada empat anak seni tempatan atas kejayaan meraih anugerah berprestij pada 63rd Golden Horse Awards di Taiwan.
Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini menyifatkan kejayaan itu sekali gus mengharumkan nama negara di pentas perfileman antarabangsa.
Mereka ialah Nandagopall Mohan yang memenangi kategori Best New Performer menerusi filem “Sayang Sayang”, sekali gus mencipta sejarah sebagai pelakon Malaysia pertama memenangi anugerah itu sepanjang penganjurannya.
Selain itu, Kartik Vijay bagi kategori Best Cinematography menerusi filem Dead Tide, manakala Ryota Katayama bagi kategori Best Original Film Song menerusi lagu Gone With the Tide daripada filem Dead Tide, bersama dengan David Ke dan Hung Pei-yu.
Seorang lagi ialah Tsai Ming-liang bagi kategori Best Documentary Short Film menerusi Night Journey.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi Sayang Sayang dan Dead Tide termasuk pengarah, penerbit, pelakon serta rakan kerjasama yang menjayakan kedua-dua filem itu.
“Kejayaan membanggakan ini membuktikan bakat dan kreativiti anak Malaysia mampu menghasilkan karya berkualiti serta meraih pengiktirafan antarabangsa, sekali gus menyerlahkan potensi kerjasama produksi rentas negara,” kata beliau dalam hantaran itu.
Perdana Menteri berkata sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Film in Malaysia Incentive (FIMI) terhadap kedua-dua filem berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bagi memperkasakan industri perfileman negara.
“Tahniah juga kepada Jack Tan, Yeo Yann Yann, Mhia Firdaus dan Edmund Yeo atas pencalonan dalam pelbagai kategori utama, yang turut mengangkat nama Malaysia pada pentas perfileman antarabangsa.
“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai penggiat seni tempatan untuk terus berkarya dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” kata beliau. – Bernama














