Kolej Ketengah terus memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi perluasan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi (IPT) serta pemain industri bagi melahirkan graduan berkemahiran yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Pengerusi Kolej Ketengah, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu merupakan antara lima fokus utama institusi itu dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan kebolehpasaran graduan.
Menurutnya, Kolej Ketengah perlu terus bergerak seiring perkembangan teknologi dan perubahan keperluan industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan serta berdaya saing.
“Usaha memperkasa institusi ini dilaksanakan secara berterusan agar kolej terus relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan masyarakat serta industri.
“Antara tumpuan utama adalah memperkukuh bidang TVET dan program akademik bagi melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran serta memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kelima di Dewan Melunak Ballroom, Primula by The Lake Hotel, Tasik Kenyir, Terengganu baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat.
Ahmad Razif berkata, Kolej Ketengah turut memberi penekanan terhadap peluasan program pengajian dan kerjasama strategik dengan universiti, industri serta agensi berkaitan.

Katanya, usaha itu penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian, selain meningkatkan kemahiran dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi.
Sehubungan itu, Kolej Ketengah merancang menjalinkan kerjasama pendidikan dengan beberapa IPT termasuk Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Poly-Tech Malaysia.
Kerjasama itu dijangka memberi peluang kepada graduan Kolej Ketengah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain mendapat pendedahan dalam penyelidikan komuniti, khidmat masyarakat dan pelbagai projek sosial.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap usaha memperluas akses pendidikan menerusi pembangunan institusi termasuk perancangan ke arah penubuhan City Campus.
Menurutnya, aspek kemudahan dan kebajikan pelajar juga akan terus dipertingkatkan, khususnya melibatkan persekitaran pembelajaran, keselamatan serta kemudahan penginapan yang lebih kondusif.
“Selain memperkukuh bidang akademik dan TVET, kita juga mahu memperkasa kebolehpasaran graduan menerusi bidang keusahawanan dan teknologi digital.
“Pendidikan bukan sekadar membuka pintu masa depan, tetapi membina keupayaan untuk mencipta masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Rozi berkata, pendidikan dan pembangunan modal insan merupakan antara asas penting dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat, khususnya generasi muda di kawasan luar bandar.
Menurutnya, usaha memperluas peluang pendidikan dan memperkasa TVET perlu diteruskan, selaras dengan agenda Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Dalam konteks Wilayah Ketengah, kita mahu anak-anak wilayah mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian, menguasai kemahiran dan membina kerjaya yang lebih baik.
“Pendidikan akademik dan TVET perlu saling melengkapi bagi memenuhi keperluan industri serta membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf kehidupan,” katanya.
Rozi turut mengingatkan graduan supaya tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan sedia ada, sebaliknya berani meneroka bidang keusahawanan dan memanfaatkan teknologi digital untuk menjana pendapatan.
Katanya, graduan TVET juga perlu berani mencipta peluang pekerjaan sendiri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat.
Dalam perkembangan sama, majlis konvokesyen itu turut menyaksikan penyampaian simbolik peralatan automotif oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kepada Kolej Ketengah.
Sumbangan itu merupakan sokongan terhadap usaha memperkukuh kemudahan pembelajaran dan latihan teknikal, selain meningkatkan pendedahan pelajar dalam bidang automotif.
Pada majlis itu, seramai 359 graduan diraikan selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma, Sijil Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dan Sijil TVET.
Sejak 2015, Kolej Ketengah yang bernaung di bawah Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB), dan berjaya melahirkan seramai 1,942 graduan dalam pelbagai bidang pengajian.














