JAKARTA – Indonesia mempunyai empat buah universiti dan Thailand tiga universiti berada dalam kedudukan 100 teratas penarafan sains rentas disiplin global yang dikeluarkan Rabu lepas, lebih banyak berbanding mana-mana negara lain di Asia Tenggara, lapor laman berita VNExpress.
Singapura dan Malaysia masing-masing mempunyai dua universiti dalam ranking 100 teratas Penarafan Sains Antara Disiplin 2027, yang disusun oleh Times Higher Education bersama Schmidt Science Fellows.
Pasangan universiti Singapura kekal sebagai dua universiti di kedudukan tertinggi di rantau ini. Universiti Nasional Singapura berada di tangga kedua dunia, naik daripada tangga kelapan tahun lepas, manakala Universiti Teknologi Nanyang di kedudukan ketujuh.
Universiti Chulalongkorn di Thailand berada di kedudukan ke-20 dengan skor keseluruhan 79.3 daripada 100, satu-satunya universiti Asia Tenggara di luar Singapura dalam kedudukan 20 teratas. Ia berada di tangga ke-19 tahun lepas.
Universiti Mahidol berada di tangga ke-73 dan Universiti Chiang Mai di tempat ke-96.
Universiti IPB di Bogor merupakan universiti di kedudukan tertinggi di Indonesia pada tangga ke-47 dengan skor 70, diikuti Institut Teknologi Bandung di tangga ke-56, manakala Universiti Gadjah Mada di kedudukan ke-74 dan Universiti Indonesia di tangga ke-77.
IPB berada di kedudukan ke-42 tahun lepas dan ke-60 pada tahun sebelumnya, demikian menurut universiti berkenaan.
Dua universiti Malaysia dalam 100 teratas ialah Universiti Teknologi Malaysia(UITM) di tangga ke-54 dan Universiti Kebangsaan Malaysia di tangga ke-76. Universiti terkemuka negara tersebut, Universiti Malaya tidak disenaraikan dalam ranking 2027.
Penarafan yang kini memasuki edisi ketiga itu merangkumi 1,058 institusi dari 102 negara dan wilayah, meningkat daripada 911 merentasi 94 negara pada tahun lepas. Institut Teknologi Massachusetts mendahului penarafan tersebut buat tahun ketiga berturut-turut.
Ia menilai universiti berdasarkan tiga teras: input, atau sejauh mana penyelidikan merentasi disiplin dibiayai; proses atau kemudahan serta sokongan pentadbiran di sebaliknya; dan output, atau kualiti serta jangkauan penyelidikan tersebut.
Beberapa universiti terkenal dunia, antaranya Harvard, Oxford, Cambridge, Tsinghua, Peking dan University of Tokyo tidak muncul dalam jadual tersebut, yang hanya merangkumi institusi yang menyerahkan data dan memenuhi kriteria kelayakan majalah berkenaan. – AGENSI














