Mahkamah Keadilan Antarabangsa

Malaysia hormati penghakiman ICJ dalam kes The Gambia v. Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA- Malaysia menghormati penghakiman disampaikan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November lalu berhubung Application of the Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide (The Gambia v. Myanmar).

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia menegaskan semula komitmen untuk menjunjung undang-undang antarabangsa, termasuk tanggungjawabnya sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Genosid.

“Hasil dapatan ICJ adalah selaras dengan pendirian Malaysia dalam melindungi semua golongan rentan yang terdedah kepada ancaman.

“Malaysia akan terus memperjuangkan penyelesaian komprehensif dan berkekalan bagi krisis yang berlarutan ini, termasuk secara aktif melibatkan semua pihak berkaitan melaksanakan langkah konkrit meringankan penderitaan komuniti Rohingya yang berlindung di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Wisma Putra berkata, Malaysia juga akan mengadakan libat urus dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan pemegang taruh lain dalam perkara-perkara berbangkit daripada penghakiman ini.

Khamis lalu, ICJ memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, dalam kes yang difailkan Gambia pada 2019.

Untuk maklumat, ini kali pertama ICJ memutuskan sesebuah negara melakukan genosid yang mana pada 2007, ICJ mendapati Serbia gagal mencegah genosid di Srebrenica, tetapi tidak memutuskan negara itu melakukan genosid terhadap etnik Bosnia.

Keputusan Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Mahkamah Dunia itu dibuat tujuh tahun selepas Gambia memfailkan kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN