SEREMBAN – Hasrat bapa lima anak untuk kembali menjalani kehidupan normal selepas enam tahun menderita penyakit Parkinson belum kesampaian apabila pembedahan yang dijadualkan bulan depan terpaksa ditangguhkan atas faktor kewangan.
Mohd. Nazif Mansor, 35, memerlukan wang sebanyak RM110,000 bagi menampung kos membeli peralatan pembedahan rangsangan otak dalam atau Deep Brain Stimulation (DBS) di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini pada 26 Januari 2027.
Isterinya, Nor Fazlina Zazali, 33, berkata, tarikh pembedahan itu terpaksa dianjak kerana dana masih belum mencukupi bagi membolehkan prosedur tersebut diteruskan.
“Pihak hospital mengeluarkan sebut harga berjumlah RM110,000 bagi peralatan pembedahan, namun saya tidak pasti berapa kos keseluruhan rawatan yang perlu ditanggung.
“Suami hanya mempunyai simpanan RM1,000 dalam Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kami sedang menguruskan proses pengeluaran wang itu dengan pengesahan pihak hospital,” katanya ketika dihubungi.
Pasangan itu pernah disantuni syarikat Media Mulia yang menerbitkan akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia bersama Mahsuri Dagang pada Februari lalu.
Nor Fazlina berkata, sejak suaminya menghidap Parkinson, kehidupan mereka sekeluarga berubah sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan.
“Besar harapan saya untuk melihat suami kembali sihat. Sekurang-kurangnya dia dapat bekerja semula,” katanya
Menurut wanita itu, pelbagai usaha dilakukan bagi mendapatkan bantuan termasuk kepada Dewan Undangan Negeri, Parlimen, Pejabat Menteri Besar, Pertubuhan Keselamatan Sosial, KWSP, Baitulmal, masjid kariah dan persatuan perumahan.
“Setakat ini, kami hanya menerima maklum balas daripada pihak Pejabat Menteri Besar yang memaklumkan akan memberikan sumbangan, namun jumlahnya belum diketahui,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB bernombor 7634477757 atas nama Nor Fazlina Zazali.














