KUALA LUMPUR – Penyanyi rock, Ali XPDC terpaksa dimasukkan semula ke Unit Rawatan Koronari (CCU) selepas bacaan tekanan darahnya merosot secara mendadak kepada 48/34.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Wan Aliuddin Aqiel yang turut memohon orang ramai supaya tidak mengunjungi bapanya buat sementara waktu bagi membolehkannya berehat secukupnya.
“Bacaan tekanan darah baba (ayah) drop (turun) 48/34. Sekarang baba kena masuk CCU (Unit Rawatan Koronari/Jantung) semula,” katanya.
Pada masa sama, Aqiel memohon maaf kerana keluarga mereka belum dapat menerima sebarang kunjungan atau ziarah buat masa ini.
“Buat masa ini, ayah perlu berehat sepenuhnya dan kami sekeluarga mohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang lawatan atau ziarah buat sementara waktu.
“Ini bagi memastikan ayah mendapat rehat secukupnya sebagai persediaan untuk prosedur angiogram yang akan dilakukan nanti.
“Mohon semua faham dan terus titipkan doa agar jantung ayah kembali kuat, segala urusan rawatan dipermudahkan dan ayah diberikan kesembuhan,” katanya.
Terdahulu, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 58, dijadualkan menjalani prosedur angiogram di Institut Jantung Negara (IJN) tengah hari semalam.
Bagaimanapun, prosedur berkenaan terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain berikutan keadaan kesihatannya yang masih belum mengizinkan.
“Keadaan jantung ayah masih lemah dan belum cukup stabil untuk menjalani prosedur tersebut.
“Buat masa ini, pihak doktor akan terus memantau keadaan ayah.
“Insya-Allah, angiogram mungkin akan dilakukan, bergantung kepada keadaan kesihatan ayah,” katanya.
Ali dikejarkan ke IJN oleh rakannya, Ejay Da’ie, sejak Rabu lalu selepas keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot.
Ejay yang juga seorang usahawan memaklumkan Ali mengalami masalah kesihatan sejak tiga hingga empat hari sebelum itu, selain berdepan sesak nafas.
Menurutnya, penyanyi itu perlu menjalani pembedahan jantung dengan segera yang memerlukan kos agak tinggi.
Sehubungan itu, Ejay turut memohon sumbangan orang ramai bagi membantu menampung kos rawatan berkenaan menerusi media sosial.
Bagaimanapun, kutipan dana bagi menampung kos pembedahan yang dianggarkan antara RM60,000 hingga RM70,000 itu telah mencapai sasaran dan ditutup sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE














