PETALING JAYA – Keadaan kesihatan pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak semakin menunjukkan perkembangan positif apabila dia sudah dipindahkan ke wad biasa selepas beberapa hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bahru, Kelantan.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, bagaimanapun memberitahu dia masih memerlukan bantuan oksigen dan berada di bawah pemantauan doktor.
“Ketika hantaran ini ditulis, alhamdulillah saya telah dipindahkan ke wad biasa dan sudah memegang telefon bimbit sendiri sekarang di sini.
“Saya masih dipantau, memakai oksigen dan berterima kasih kepada semua,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.
Berkongsi lanjut mengenai penyakit yang ditanggung, Amir menyifatkannya sebagai satu ujian perit terhadap dirinya
“Apa yang boleh saya cakap tentang ujian Allah bagi ini, biasanya orang cakap sakit adalah untuk menghapuskan dosa kecil.
“Kalau hapuskan dosa kecil pun dah sesakit ini, bagaimana keadaan saya jika untuk bersihkan dosa besar saya?
“Ya Allah, tidak tertanggung sakit ini, memang sakit Ya Allah. Penyakit ini macam serang sendi dan dalaman, kadang-kadang saya masih ‘blur’, termenung serta tidak ingat,” ujarnya.
Tambah Amir, dia kini masih bergelut untuk pulih seperti sedia kala termasuk perlu melatih semula paru-paru secara perlahan-lahan.
“Saya boleh katakan, hendak dapatkan semula kondisi keadaan diri saya 50-50 macam hari itu pun masih bergelut lagi. Untuk bernafas masih sukar, apatah lagi hendak bergerak, memang mengambil masa.
“Bercakap banyak patah pun jadi terbatuk-batuk, jadinya saya banyak diam. Saya kena perlahan-lahan untuk melatih paru-paru kembali aktif macam sebelum ini, tidak boleh buat dengan terburu-buru supaya dapat serasi dengan kondisi tubuh badan semasa saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amir turut memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak mampu membala komen dan mesej yang dihantar kepadanya.
“Saya baca komen kalian semua, maaf ya tidak balas dan cuma baca sahaja. Tulis hantaran ini pun, sejam lebih saya ambil masa.
“Yang cuba hubungi yang masuk dalam ‘inbox’ sebelum-sebelum ini dan menerusi WhatsApp pun saya sudah cuba jawab satu persatu mengikut kudrat saya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Amir dimasukkan ke ICU HRPZ II pada 11 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan bergantung pada alat bantuan pernafasan. – KOSMO! ONLINE














